AHLAN WA SAHLAN… Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak selamat tiba di Riyadh, Arab Saudi kira-kira pukul 12 tengah malam Selasa.
Ketibaan beliau diiringi isteri Datin Seri Rosmah Mansor serta pegawai kanan Pejabat Perdana Menteri di Lapangan Terbang Antarabangsa Raja Khalid disambut Gabenor Riyadh, Putera Faisal bin Bandar bin Abdulaziz Al-Saud.
“Alhamdulillah, saya telah selamat tiba di Riyadh untuk lawatan kerja sebentar tadi dan disambut oleh Putera Faisal bin Bandar bin Abdulaziz Al Saud, Gabenor Riyadh,” katanya menerusi akaun Twitter dan Fecobooknya pagi tadi.
Perdana Menteri tiba di Riyadh bagi memulakan lawatan kerja lima hari bermula hari ini hingga 12 Januari atas jemputan rasmi Raja Arab Saudi yang juga Penjaga Dua Kota Suci, Raja Salman bin Abdulaziz Al Saud.
Ketika lawatan ke negara Asia Barat tersebut, Najib dijadualkan turut menghadap Raja Salman dan Putera Mahkota, Mohammed bin Salman Abdulaziz Al Saud di istana semayam rasmi baginda di Riyadh.
Kementerian Luar dalam satu kenyataan di Putrajaya menyataka bahawah pertemuan itu akan memberikan peluang kepada mereka untuk berbincang dan bertukar pandangan mengenai isu-isu dua hala dan pelbagai hala.
“Ini termasuk isu serantau serta antarabangsa terutama tindakan susulan ke atas isu dibincangkan dan dipersetujui sewaktu lawatan negara bersejarah Raja Salman ke Malaysia pada Mac tahun lalu,” kata kenyataan itu.
Isu-isu tersebut juga merangkumi kerjasama ekonomi, pelaburan, hal ehwal Haji dan penubuhan Pusat Keamanan Antarabangsa Raja Salman (KSCIP) di Putrajaya.
Menurut kenyataan Kementerian Luar lagi, pertemuan-pertemuan itu adalah amat tepat pada masanya di mana hubungan istimewa Malaysia dan Arab Saudi kini berada pada tahap yang tertinggi.
“Lawatan perdana menteri ke Arab Saudi pada kali ini akan memperkukuhkan lagi hubungan persahabatan antara dua buah negara,” kata kenyataan tersebut. – Agensi/Mynewshub.cc/HAA