REPLIKA wau terbesar yang dihasilkan guru, ibu bapa dan pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Malim Nawar, di Kampar, Perak menerima pengiktirafan Malaysia Books of Record (MBOR).
Permainan layang-layang tradisional Melayu bersaiz 75 meter panjang dan 70 meter lebar itu disenaraikan secara rasmi sebagai yang wau paling besar pernah dihasilkan di negara ini, menurut laporan media tempatan hari ini.
Ia malah hampir memenuhi sebuah padang bola, dibuat menggunakan lembaran plastik yang dicantumkan pada rangka wau yang diperbuat menggunakan buluh hasil kerjasama antara warga sekolah bersama ibu bapa pelajar.
Pengarah projek yang juga guru Pendidikan Seni Visual (PSV) sekolah berkenaan, Muzafar Saari, berkata idea untuk menghasilkan replika wau itu tercetus bulan lalu sebelum usaha pembuatannya dimulakan sejak 3 Januari lalu.
Katanya, projek itu dapat bantu memupuk penjanaan minda bagi menghasilkan sesuatu yang kreatif dan inovatif dalam kalangan pelajar, selain bertujuan mengeratkan hubungan sosial dan silaturahim berbilang kaum.
“Pada asalnya replilka wau ini yang dibina hasil usaha sama 649 pelajar serta 80 warga pendidik sekolah ini menggunakan kira-kira 500 lembaran kertas surat khabar pada bahagian badannya.
“Bagaimanapun ia musnah kerana hujan lebat pada petang semalam (Jumaat). Keadaan itu memaksa semua pelajar dan guru dan ibu bapa bersengkang mata sejak petang semalam hingga awal pagi ini.
“Ia bagi menggantikan bahagian badan wau yang musnah itu dengan lembaran plastik, Alhamdulillah ia berjaya disiapkan juga,” katanya sambil bersyukur dan mengetengahkan semangat kerjasama antara semua terlibat.
Perasmian projek berkenaan kemudian disempurnakan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan, Komunikasi, dan Multimedia Perak, Datuk Nolee Ashilin Mohammed Radzi.
Turut hadir ialah Eksekutif Pentadbiran MBOR, Siti Hajar Johor yang turut mengesahkan pengiktirafan projek berkenaan dan disaksikan Pengetua SMK Malim Nawar, Ismail Ebrahim.
Terdahulu, Ismail berkata bahawa aktiviti berkenaan juga adalah sebahagian dari usaha menyuntik semangat ke arah mewujudkan identiti nasional dalam kalangan pelajar sendiri.
Ini kerana SMK Malim Nawar dipilih sebagai satu-satunya sekolah di daerah Kinta Selatan terlibat di bawah Program Transformasi Sekolah TS25 (2.0). – Agensi/Mynewshub.cc/HAA