PUTRAJAYA – Pakar industri minyak sawit, Dr James Fry yakin resolusi Kesatuan Eropah (EU) yang mendiskriminasikan komoditi itu adalah tidak betul dan bertentangan dengan sistem Pensijilan Kelestarian dan Karbon Antarabangsa (ISCC) – pemacu minyak sawit yang diperakui.
Beliau berkata, pensijilan ISCC dan Rundingan Meja Bulat Minyak Sawit Lestari merupakan sistem yang diwujudkan dan diluluskan oleh EU.
“(Memandangkan) EU yang meluluskan pensijilan itu, ini bermakna minyak sawit dihasilkan secara lestari,” katanya ketika membentangkan tajuk “Apakah Pemacu Penting Seterusnya dalam Pasaran Minyak dan Lelemak serta Prospek (What are the Next Important Drivers in the Oils and Fats Market and Outlook) sempena Seminar Ulasan dan Unjuran Ekonomi Minyak Sawit 2018 di sini, hari ini.
Pada Rabu, 429 anggota Parlimen Eropah mengundi resolusi supaya mengeluarkan bahan api bio berasaskan sawit daripada campuran tenaga EU selepas 2020.
Keputusan muktamad akan dibuat dalam mesyuarat tiga pihak bersama-sama Majlis EU dan Suruhanjaya Eropah.
Fry, yang merupakan Pengerusi LMC International Ltd, sebuah firma perundingan minyak sawit berpangkalan di London, berkata setakat tahun lepas, 99 peratus daripada keseluruhan bahan api bio di EU adalah telah diperakui.
“Ini bermakna, undang-undang bukan untuk suka-suka, dan negara-negara pengeluar sawit telah mematuhi keperluan EU,” katanya.
Beliau berkata, berdasarkan penilaian EU sendiri terhadap pengurangan gas rumah hijau, minyak sawit adalah yang terbaik dan lebih baik berbanding mana-mana minyak sayur-sayuran lain.
“Oleh itu, pada tahap logik dan pandangan saya sendiri, mungkin, yang akhirnya adalah ketekalan Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO), saya berpandangan bahawa resolusi Parlimen EU adalah tidak betul,” katanya.
Dalam perkembangan yang sama, Fry yakin tindakan EU tersebut akan menyebabkan harga makanan meningkat di rantau itu, apabila minyak sawit tidak lagi digunakan dalam bahan api bio.
“Mereka mungkin akan menggunakan minyak biji sesawi untuk menggantikan 3.5 juta tan minyak sawit yang digunakan dalam pengeluaran bahan api bio.
“Mereka juga perlu mencari 3.5 juta tan lagi minyak pengganti lain, mungkin minyak bunga matahari, untuk menampung apabila minyak biji sesawi tidak berada dalam pasaran makanan,” katanya.
Fry berkata, kitaran itu akan meningkatkan harga minyak bunga matahari, sekali gus menyebabkannegara pengguna minyak sayur-sayuran seperti India dan China menggunakan semula minyak sawit.
“EU, kemudiannya, akan mempunyai pekerjaan yang besar dan mahal untuk itu,” katanya.
Mengenai unjuran harga minyak sawit, Fry menjangkakan ia berada pada purata US$670 satu tan tahun ini.
Beliau berkata, apabila minyak mentah Brent diniagakan pada US$70 setong dan ditukar kepada tan, ia bernilai US$520 satu tan.
“Selama ini minyak sawit diniagakan pada premium US$150 di atas harga minyak mentah Brent (mengikut tan), tahun ini dijangka menyaksikan komoditi itu berada pada purata US$670 satu tan,” katanya. – BERNAMA