SELEPAS bergelar pelakon, pengacara dan ahli perniagaan, Rozita Che Wan atau Che Ta bakal mencuba bidang nyanyian pula.
Khabarnya, Che Ta akan menggunakan khidmat Hazami untuk menggilap bakatnya dalam seni suara.
Ibu kepada tiga cahaya itu baru-baru ini mengaku dia dihimpit pelbagai perasaan antara teruja, gementar dan gemuruh memikirkan karier nyanyiannya nanti.
“Dalam soal nyanyian ini, saya memang serius, apatah lagi Hazami juga beriya-iya mahu saya menyanyikan lagu ciptaannya.
“Sebelum ini, saya pernah didekati penggiat seni lain seperti Eddie Hamid dan Imran Ajmain yang menawarkan peluang serupa. Namun, mungkin ketika itu saya belum bersedia. Waktu itu pun, Imran mencari pelakon sebagai rakan duet dan bukannya penyanyi,” katanya kepada BH Online.
Menurut Che Ta, dia memilih Hazami kerana amat amat tertarik dengan karya ciptaannya, seperti Takdir (dendangan Dayang Nurfaizah), yang dijadikan lagu tema drama Syurga Yang Kedua.
Mengenai genre pilihannya, isteri Zain Saidin ini tidak mempunyai pilihan tertentu.
“Saya pun tak pernah terfikir nak jadi penyanyi selama ini. Jadi, mungkin lagu balada atau irama Malaysia sesuai dengan saya,” katanya yang mengaku bersedia untuk menerima kritikan apabila menceburi bidang nyanyian kelak.
Ketika ini, difahamkan Hazami sedang menyiapkan lagu baharu untuk dua orang penyanyi hebat iaitu Azharina dan Aishah.
“Mungkin giliran saya akan tiba selepas Hazami menyiapkan lagu untuk Aishah,” kata pelakon berusia 44 tahun itu penuh harapan. – MYNEWSHUB.CC