SANDAKAN – Hubungan baik yang terjalin di antara kerajaan negeri Sabah dan Persekutuan membolehkan peruntukan besar diagihkan untuk pembangunan pendidikan di negeri ini, kata Ketua Menteri Sabah Tan Sri Musa Aman.
Beliau berkata menerusi hubungan baik itu, kerajaan persekutuan sentiasa mendengar dan berbincang setiap keperluan yang dikemukakan oleh kerajaan negeri Sabah.
“Kita ada kerajaan persekutuan yang baik di bawah pemimpin bertanggungjawab iaitu Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.
Kita berterima kasih di atas peruntukan besar yang diberikan untuk keperluan pendidikan di Sabah pada tahun ini yang penting untuk melahirkan modal insan dan generasi masa depan untuk memberi sumbangan kepada bangsa, agama dan negara,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Bicara Profesionalisme Pendidikan dan Penyampaian Bantuan Khas Awal Persekolahan peringkat negeri Sabah di sini, hari ini.
Hadir sama Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Sabah Datuk Maimunah Suhaibol dan Pembantu Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Datuk Kamarlin Ombi.
Musa berkata peruntukan RM1 bilion yang diumumkan Najib bagi menambah baik sekolah daif di negeri ini pada tahun ini besar ertinya bukan sahaja kepada kerajaan negeri ini malah kepada pelajar, warga pendidik dan ibu bapa.
Katanya ia juga menunjukkan kerajaan memberikan perhatian serius dalam menyediakan suasana pembelajaran yang selesa di semua sekolah di negeri ini.
Musa berkata beliau mengutamakan aspek pendidikan yang penting dalam pembangunan modal insan, antara empat hala tuju yang diperkenalkannya untuk negeri ini apabila dilantik sebagai Ketua Menteri Sabah.
Katanya tiga lagi adalah sektor pelancongan, pertanian dan pembuatan untuk kemajuan negeri ini. – BERNAMA