ALGIERS – Fenomena alam unik sekali lagi berlaku apabila gurun Sahara di wilayah Aljazair, Algeria dilitupi salji paling besar sepanjang Ahad lalu, menurut laporan media antarabangsa.
Sahara yang diketahui merupakan kawasan paling panas di dunia, langsung berubah pada 7 Januari lalu apabila sebahagian daripada wilayah padang pasir tandus di utara benua Afrika tersebut dingin diselimuti salji amat tebal.
Lautan kristal putih turun memenuhi ruang sekitar bandar terpencil Ain Sefra, sekitar 760 kilometer sebelah selatan ibu kota Algiers dan ia lebih tebal berbanding senario salji kali pertama muncul di situ pada 19 Disember 2016 lalu.
Kali terakhir hujan salji pernah membasahi Ain Sefra, dengan hanya 35,000 penduduk di banjaran Atlas terletak di bahagian utara gurun Sahara itu ialah pada 18 Februari 1979 apabila salji membadai cuma selama setengah jam.
Namun, ini adalah kali pertama kota kecil itu mengalami tompokan salji yang cukup tebal dengan jangka waktu relatif lama malahan mencecah rekod suhu paling rendah iaitu – 10.2 darjah Celsius semasa musim sejuk kali ini.
Ain Sefra dikenali sebagai ‘Gerbang Gurun’ kerana mencatat suhu purata lebih 37 darjah Celsius pada musim panas. Feonomena kali ini menyaksikan salji setebal 45 sentimeter sekali gus mengejutkan warga di bandar tersebut.
Ia mulai turun pada awal pagi Ahad setelah sehari sebelumnya angin badai kuat melanda kawasan tersebut. Namun, salji pada kali ini hanya bertahan sehari apabila cair ketika suhu meningkat panas menjelang lewat petang itu.
“Kami sangat terkejut, kerana ketika bangun dari tidur kami dapat melihat salji yang bertahan lama hingga pukul 5 petang sebelum ia cair habis,” kata jurugambar Karim Bouchetata yang dipetik media antarabangsa semalam.
Akhir 2016 lalu, kota berkenaan julung kali dalam tempoh hampir 40 tahun diselimuti salji beberapa hari sebelum perayaan Krismas sehingga langsung mengakibatkan kekecohan dalam kalangan penduduk tempatannya sendiri.
Ramai penumpang bas awam terkandas lama apabila kenderaan itu tidak dapat bergerak akibat keadaan jalan yang menjadi amat licin. Apakah penyebab salji turun di Gurun Sahara ini? Ini jawapan badan meteorologi setempat:
“Udara dingin bergerak ke arah selatan dari kawasan Afrika Utara selama akhir minggu lalu akibat tekanan tinggi di benua Eropah. Ini mengakibatkan ia tersebar semakin jauh ke selatan, melebihi daripada keadaan normal.”
Ain Sefra secara kebetulan terletak pada ketinggian 1,000 meter dari permukaan laut serta dikelilingi Pergunungan Atlas sepanjang 2,500 kilometer merentasi Maghribi, Algeria dan Tunisia yang menghadap Laut Mediterranean.
Sementara itu, gurun Sahara yang menutupi sebahagian besar wilayah utara Afrika sebenarnya telah mengalami proses perubahan suhu ke arah lebih rendah dan paras kelembapan tinggi selama beberapa ratus tahun terakhir.
Meskipun Sahara ketika ini merupakan kawasan yang amat kering dan tandus di dunia, ia dijangka bakal kembali ‘hijau’ dengan dipenuhi banyak pokok dalam tempoh 15,000 tahun akan datang. – Agensi/Mynewshub.cc/HAA