DENGAN sekali lafaz, penyanyi yang mencipta nama di Amerika Syarikat, Yuna, selamat bergelar isteri kepada pengarah video, Adam Yousof Mohamed Sinclair, 33, pada jam 7 malam semalam.
Pasangan pengantin baharu tersebut dinikahkan oleh Ustaz Azmi Noh dari Jabatan Agama Islam Pahang berwalikan bapa Yuna sendiri, Datuk Mat Zara’ai Alias, pada majlis berlangsung di Puncak Rimba, Bentong, Pahang.
Dalam majlis sederhana yang hanya dihadiri 300 jemputan itu, pengantin lelaki menyerahkan tujuh dulang hantaran manakala Yuna atau nama sebenarnya, Yunalis Mat Za ra’ai, 31, membalas dengan sembilan dulang.
Pihak pengurusan Yuna menerusi kenyataan media namun tidak mendedahkan jumlah wang hantaran. Majlis pernikahan itu dengan memilih tema perkahwinan dalam taman, selamat disempurnakan pada jam 7 malam.
“Kami dengan perasaan rendah diri mengumumkan bahawa majlis pernikahan antara Adam Yousof Mohamed Sinclair dan Yunalis Mat Zara’ai pada 26 Januari 2018 di Puncak Rimba,” kata pengurusan Yuna lagi.
“Kedua-dua mempelai ingin mengucapkan terima kasih atas doa dan sokongan daripada semua pihak,” katanya. Pasangan itu dijadual mengadakan sidang media khas di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), Sabtu.
Majlis resepsi pasangan tersebut pula dijadualkan pada 28 Februari ini di lokasi yang sama. Keluarga Adam merisik Yuna pada 27 Mac tahun lepas, seterusnya mereka berdua secara rasmi menjalinkan pertunangan 5 Ogos lalu.
Penyanyi yang terkenal menerusi lagu Crush itu berkenalan dengan suaminya yang juga adik pelakon, Ashraf Sinclair, ketika menjayakan sebuah iklan pada 2013. Hubungan mereka mulai rapat pada 2015. – Agensi/HAA