NEW YORK – Setelah berada di pasaran lebih 35 tahun, Coke Diet melakukan pertukaran wajah untuk meningkatkan penjualan minuman soda bebas gula yang sedang mengalami penurunan.
Coca-Cola Co. dalam satu kenyataan media berkata, ia menambahkan minuman tin Coke Diet seberat 12 aunsnya dengan memperbaharui logo dan menawarkan dengan empat perisa terbaharu termasuk mangga dan limau halia.
Bagaimanapun perisa bagi Coke Diet biasa akan tetap sama, menurut syarikat yang berpusat di Atlanta itu. Trend penjualan Coke Diet telah merosot apabila ramai beralih ke minuman berkalori rendah seperti air soda berperisa.
Malah, kandungan minuman tin versi terbaharu itu adalah sama seperti yang digunakan oleh air soda jenama Dasani. Coke Diet akan kekal muncul dengan standard tin 12 auns, begitu juga saiz lain seperti botol dan tin kecil.
“Kami mengekalkan keaslian rupa bentuk Coke Diet sambil memodenkan jenamanya untuk menarik generasi baharu untuk meminumnya,” menurut kenyataan Coca-Cola Co. melalui laman sesawangnya baru-baru ini.
Syarikat tersebut berkata penampilan perisa dan wajah terbaharu – dengan warna jalur menegak yang berbeza bagi setiap perisa dan warna merah untuk minuman biasa – bertujuan untuk menarik minat generasi terkini.
Coca-Cola Co. menghabiskan masa selama dua tahun untuk membuat pembaharuan tersebut, dengan mencuba lebih 30 perisa berbeza sebelum memutuskan hanya empat perisa diperkenalkan, termasuk ceri dan buah oren.
Perubahan itu hanya bakal dilaksanakan di kedai-kedai runcit Amerika Syarikat menjelang akhir bulan ini sebelum Kanada pada Februari tetapi belum ada perancangan untuk membuat pembaharuan di negara-negara lain pula.
Bagaimanapun syarikat ditubuhkan pada 1886 itu berkata sebahagian daripadanya sedang meneroka idea baharu. Produk Coke dijual di lebih 200 buah negara dengan hampir 1.6 bilion unit sehari. – Agensi/Mynewshub.cc/HAA