PENGASAS kosmetik, Joy Revfa teruk dikritik terutama di media sosial selepas sekeping gambar memaparkan beliau meletakkan tangan di bahu Datuk Seri Aliff Syukri menjadi tular.
Difahamkan, foto yang tular itu adalah sewaktu sesi fotografi bagi keluaran produk tudung terbaharu kerjasama antara Joy dan Aliff yang mana turut menampilkan pengacara, Nadia Anuar.
Tidak mahu berselindung lagi, kini tuan empunya badan tampil untuk menjelaskan isu yang sebenarnya.
Menurut pemilik nama sebenar Siti Arifah Mohd. Amin berkata, beliau diarahkan untuk menyentuh bahu pengasas produk D’herbs itu namun ianya berlapik dan bersentuhan untuk beberapa saat sahaja.
“Sewaktu sesi fotografi memang kami diarahkan untuk menyentuh bahu Datuk Aliff Syukri tapi ia berlapik dan hanya bersentuhan beberapa saat sahaja untuk kami jalani di sebalik tabir fotografi itu.
“Tapi tak sangka mendapat kecaman daripada netizen sehingga perkara itu menjadi satu isu perbalahan antara mereka,” kata Joy dipetik mStar Online.
Bagaimanapun, netizen tetap berpendapat bahawa bersentuhan antara lelaki dan perempuan yang bukan muhrim secara sengaja meskipun berlapik dan berniat untuk menyentuh hukum tetap haram.
Sementara itu ketika ditanya mengenai gosip yang mengatakan Joy kini sudah bertemu pengganti hidup, wanita berusia 30 tahun ini sekeras-kerasnya menafikan perkara berkenaan.
Katanya, beliau masih belum lagi memikirkan soal cinta mahupun kahwin sebaliknya hanya ingin memberi sepenuh perhatian kepada putera kesayangannya, Arryan Firdaus.
“Alhamdulillah, kehidupan saya semakin bahagia. Tapi soal nak bercinta atau berkahwin lagi itu saya belum fikirkan lagi.
“Saya belum ada pengganti dan gosip yang mengatakan saya sudah ada pengganti itu pun tidak benar. Buat masa sekarang memang saya nak fokus besarkan Arryan Firdaus,” ujarnya.
Joy Revfa pernah cetus kontroversi panas di awangan dunia hiburan berhubung konflik rumah tangga bersama bekas suami, penyanyi Hafiz Hamidun yang berakhir dengan perceraian pada 25 Oktober 2017. – MYNEWSHUB.CC/AM