BANDARAYA HO CHI MINH – Kerajaan Sepanyol telah berjanji untuk menyalurkan bantuan kewangan kepada Bandaraya Ho Chi Minh, untuk membangunkan satu lagi jajaran metro, lapor Agensi Berita Vietnam (VNA) memetik kenyataan seorang pegawai Kementerian Ekonomi, Industri dan Persaingan (MEIC) Sepanyol.
Semasa sesi kerja dengan para pegawai Bandaraya Ho Chi Minh pada 24 Januari, Jose Kaiser Moreiras, Ketua Pengarah bagi Jabatan Perdagangan Antarabangsa dan Pelaburan di bawah MEIC, berkata negaranya memiliki pengalaman dalam aplikasi teknologi, reka bentuk pembinaan, pembangunan infrastruktur pengangkutan serta perundingan yang berkaitan.
Bandaraya Ho Chi Minh memerlukan satu pelan jajaran metro yang komprehensif, katanya sambil menambah bahawa sambungan jajaran metro antara bandar akan membawa banyak manfaat kepada komuniti.
Naib Pengerusi Jawatankuasa Rakyat Perbandaran, Tran Vinh Tuyen, berkata Ho Chi Minh berazam untuk membangunkan jajaran metro, termasuk Jajaran Metro No 5.
Majlis perbandaran tempatan memerlukan modal yang banyak untuk kesemua projek ini, katanya, sambil melahirkan harapan bahawa pihak Sepanyol akan terus membantu bandaraya itu.
Jajaran Metro No 5 mempunyai jumlah pelaburan sebanyak 1.56 bilion euro (US$1.94 bilion).
Fasa pertamanya meliputi jarak sepanjang sembilan kilometer, termasuk 7.46 kilometer landasan bawah tanah dan 1.43 kilometer laluan yang dinaikkan. – BERNAMA