CHUKAI – Kerana terbiasa dengan situasi banjir yang sering melanda setiap tahun, kebanyakan penduduk di Kampung Bukit Mentok di sini mempunyai bot persendirian untuk digunakan berpindah ke pusat pemindahan sementara (PPS).
Mohd Syukri Mat Harun, 36, berkata kedudukan kampung itu yang berhampiran dengan sungai menyebabkan mereka perlu sentiasa berwaspada apabila tiba musim banjir dan fenomena air pasang besar.
“Bila dah selalu terjadi keadaan macam ni, kami sudah tahu apa tindakan harus dilakukan di samping bantuan yang diberikan pihak berwajib,” katanya ketika ditemui Bernama di rumahnya di sini hari ini.
Katanya beliau dan keluarga tidak berpindah ke PPS dan hanya duduk di tingkat dua rumahnya, jika paras air semakin naik mereka akan berpindah ke pusat terdekat.
Mohd Lazim Muhammad, 53, yang ditemui di PPS Sekolah Kebangsaan Bukit Mentok pula berkata beliau terpaksa berpindah ke pusat itu kerana risaukan keselamatan anak-anaknya yang teruja bermain air di kawasan rumah.
“Walaupun hujan tidak turun, tetapi air yang datang dari hulu ke kawasan rendah di sini menyebabkan kawasan ini masih lagi banjir,” katanya. – BERNAMA