KOTA KINABALU – Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB) hari ini memberi jaminan tidak akan melakukan pengurangan pekerja.
Pengarah Urusannya Ir Abd Razrak Salim berkata SESB akan terus beroperasi seperti biasa dengan kekuatan tenaga kerja sedia ada.
SESB juga akan memastikan inisiatif untuk meningkatkan kecekapan dalaman dapat terus dilaksanakan, katanya pada perhimpunan awal tahun SESB di sini.
Sehubungan itu, beliau menggesa warga kerja syarikat tersebut terus fokus kepada tugas harian untuk memastikan bekalan elektrik yang berterusan di negeri ini.
Sementara itu, Presiden Kesatuan Pekerja-pekerja SESB Azhar MY Ahmad dan Yang Dipertua Kesatuan Jurutera-jurutera SESB Terrence Kouju masing-masing turut menggesa anggota persatuan agar terus memberi kerjasama dan sokongan penuh kepada pengurusan SESB untuk memastikan operasi dan perkhidmatan bekalan elektrik yang berterusan di Sabah dan Labuan.
Sebelum ini, media melaporkan SESB disaran mengurangkan pekerja sebagai langkah menangani masalah kewangan syarikat. – BERNAMA