SIBU – Kementerian Kesihatan sedang dalam proses untuk menyewa dua pintu kedai bagi mengatasi kesesakan pesakit di Poliklinik Jalan Oya di sini.
Terletak di bangunan kedai di belakang poliklinik tersebut, dua pintu kedai itu nanti akan menempatkan klinik kencing manis dan darah tinggi.
“Kita berharap akan dapat kerjasama dari pemimpin tempatan (pihak berkuasa tempatan) untuk menukar syarat penggunaan bangunan daripada kedai kepada klinik,” kata Timbalan Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr. Hilmi Yahaya.
Beliau yang mengadakan lawatan ke poliklinik yang berusia 27 tahun itu hari ini mengakui keadaan di situ amat sesak dengan jumlah pesakit yang mendapatkan rawatan ataupun pemeriksaan kesihatan susulan antara 800 hingga 1,000 orang sehari.
Turut hadir ialah Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak, Dr. Jamilah Hashim; Pegawai Kesihatan Bahagian Sibu Dr. Muhammad Rais Abdullah dan Pengarah Hospital Sibu Dr. Ngian Hie Ung.
Ditanya sama ada sebuah poliklinik akan dibina di Sibu, Jamilah berkata pada masa ini memang ada keperluan untuk membinanya.
Sebagai alternatif untuk masa ini, langkah menyewa kedai terbabit adalah cara yang paling cepat untuk memberikan keselesaan kepada pesakit yang pergi ke Poliklinik Jalan Oya.
Sementara itu Dr. Hilmi berkata, pihaknya melihat adanya keperluan mendesak untuk menambah baik wad unit rawatan rapi, dan menggantikan mesin X-ray di Bahagian Radiologi Hospital Sibu.
Beliau turut berkata, tindakan segera juga akan diambil bagi membaiki bumbung bocor dan juga kerosakan sistem penyaman udara di Klinik Kesihatan Sibu Jaya. – BERNAMA