KECOH… Sidang media Lim Guan Eng berhubung isu skandal terowong dasar laut ‘tegang’ selepas beliau gagal kawal emosi mengeluarkan pelbagai perkataan kurang elok didengar manusia waras.
Guan Eng bukan sahaja melabel Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Wee Ka Siong sebagai ‘bodoh’, malah mendakwa pengamal media gagal mematuhi etika kewartawanan mengikut standard ditetapkan beliau.
Situasi itu tercetus selepas Guan Eng dilihat gagal mengawal perasaannya ketika memberi ulasan isu projek terbabit, selain berterusan menyifatkan siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sebagai tidak relevan.
“Ka Siong boleh tanya adakah ia (projek terowong dasar laut) disetem (atau) tak? Takkan kita hendak jawab sampai peringkat budak-budak macam ini? Bodoh ke? Dia (Ka Siong) juga tanya kenapa pembinaannya belum dijalankan?
“Macam mana kita (kerajaan Pulau Pinang) mahu mula kerja kalau dia selalu masuk campur, selain asyik ada gangguan? Sekarang kita pun tidak tahu sama ada projek ini boleh akan diteruskan atau pun tidak.
“Projek mahu mula, SPRM siasat, tetapi tiada tindakan. Tiba-tiba 2018, siasat lagi dan mula tangkap pula. Kenapa (SPRM pilih) 2018? Sudah tentu kerana pilihan raya umum sudah dekat,” dalih Ketua Menteri negeri tersebut.
Sidang media berkenaan yang diadakan di George Town pada Jumaat menjadi tumpuan media susulan penahanan pelbagai individu berprofil tinggi sepanjang minggu ini kerana kes tuntutan palsu berhubung projek mega itu.
Projek bernilai RM6.3 bilion itu mencetuskan pelbagai kontroversi, termasuk kos kajian kebolehlaksanaan terlalu tinggi, selain kaedah pembayaran menggunakan tanah kerajaan negeri serta pelaksanaan dibantah penduduk.
Ramai bimbang dengan impak ekonomi, sosial dan alam sekitar apabila projek itu siap. Malah lebih lucu ia tetap ada tol atas alasan konon tidak mahu merugikan konsesi Jambatan Pulau Pinang dan Jambatan Sultan Abdul Halim.
Siasatan SPRM mendapati, beberapa ahli politik dipercayai menerima habuan sehingga jutaan ringgit dalam kajian projek yang akan menghubungkan Persiaran Gurney ke Bagan Ajam dengan dijangka hanya mula dibina pada 2023.
Guan Eng yang juga Setiausaha Agung DAP dalam pada itu turut mendakwa pengamal media pro-Barisan Nasional yang melaporkan isu berkaitan salah laku projek mewah itu konon sebagai tidak profesional, beretika dan bermoral.
Beliau yang sebelum ini, konon sering melaungkan dan memperjuangkan hak kebebasan media itu namun enggan menerima sebarang soalan daripada pengamal media tertentu yang jelas diketahui sebagai anti-Pakatan Harapan.
“Mereka tidak tahu apa itu malu dan memang tidak kenal malu, apabila saya cakap perkara macam ini, mereka (musuh politik beliau) hanya senyum dan tak kenal malu punya. Ok sekarang Sinar (Sinar Harian) boleh tanya…
“Saya tahu yang mana sinar dan tidak bersinar,” sinis Guan Eng sekali gus menyerlah sikap keperibadian beliau yang hanya berani memilih media tertentu konon telus dalam liputan laporannya. – Agensi/Mynewshub.cc/HAA
*Video arkib aksi Exco Kerajaan DAP Pulau Pinang gagal jawab soalan mengenai projek terowong dengan buat kecoh…