GEORGE TOWN – Kerajaan negeri Pulau Pinang mewartakan penubuhan Suruhanjaya Siasatan mengenai kejadian tanah runtuh di tapak projek perumahan mampu milik di Lengkok Lembah Permai, Tanjung Bungah yang berkuat kuasa 21 Disember lepas.
Ketua Menteri, Lim Guan Eng ketika mengumumkan perkara itu pada sidang akhbar, di sini hari ini berkata Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang, Tun Abdul Rahman Abbas telah mengeluarkan tauliah dan melantik bekas Pengerusi Majlis Peguam Malaysia, Datuk Yeo Yang Poh sebagai Pengerusi suruhanjaya siasatan itu untuk menyiasat kejadian tanah runtuh berkenaan.
“Suruhanjaya siasatan ini akan menyiasat sebab-sebab kegagalan struktur sementara di tapak projek itu yang berlaku pada 21 Oktober 2017 termasuk sama ada sebab berkaitan dengan kuari yang berdekatan.
“Suruhanjaya siasatan ini juga menyiasat sama ada kegagalan struktur sementara berkenaan, kematian dan kecederaan berpunca daripada apa-apa kelalaian, kesembronoan, pelanggaran kewajipan profesional atau undang-undang, salah laku atau perbuatan sengaja atau kegagalan bertindak oleh mana-mana orang, syarikat atau pihak berkuasa,” katanya.
Kejadian tanah runtuh pada 21 Okt lepas di tapak projek berkenaan meragut nyawa 11 pekerja terdiri daripada seorang rakyat tempatan; lima Bangladesh; dua Indonesia; dua Myanmar dan seorang Pakistan apabila ditimbus tanah lereng bukit yang runtuh.
Ketika kejadian pada 8.57 pagi itu, kesemua mereka sedang bekerja di tapak projek pembinaan rumah mampu milik itu.
Lim berkata suruhanjaya siasatan itu perlu menyiap dan mengemukakan laporan siasatan itu kepada Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang dalam tempoh tiga bulan dari tarikh pertama sesi pendengaran suruhanjaya itu yang akan ditentukan pengerusi kelak.
Terdahulu, Ketua Pemuda Barisan Nasional Pulau Pinang, Hng Chee Wey pada sidang akhbar berasingan meminta kerajaan DAP Pulau Pinang mempercepatkan penubuhan suruhanjaya siasatan itu supaya kerja menyiasat punca tanah runtuh berkenaan dapat dijalankan.
Hng turut berharap kerajaan negeri membenarkan beliau dan penyelaras Parlimen Bukit Bendera Andy Yong menjadi anggota dalam suruhanjaya siasatan berkenaan.
“Laporan siasatan mengenai kejadian tanah runtuh adalah sangat penting bagi penduduk Pulau Pinang terutama di kawasan perumahan di lereng bukit seperti di Relau, Paya Terubong, Tanjung Bungah, Batu Maung dan Sungai Ara.
“Laporan ini mungkin akan memaksa kerajaan negeri untuk meminda dasar dan peraturan pembangunan di lereng bukit, ia adalah berkait rapat dengan keselamatan penduduk dan pembeli rumah di lereng bukit,” katanya. – BERNAMA