PUTRAJAYA – Tempoh pendaftaran skim bayaran tunai Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) 2018 akan dilanjutkan sehingga 25 Januari ini.
Kementerian Kewangan dalam satu kenyataan hari ini berkata, permohonan boleh dilakukan dalam talian melalui portal rasmi BR1M iaitu https://ebr1m.hasil.gov.my.
Selain itu, pemohon yang memenuhi syarat ditetapkan boleh membuat permohonan di mana-mana cawangan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) secara percuma.
BR1M mula diperkenalkan kerajaan pada tahun 2012 lalu dan sehingga kini ia memanfaatkan 4.7 juta isi rumah selain 2.7 juta individu bujang dari seluruh Malaysia.
Skim ini adalah polisi pembayaran untuk isi rumah berpendapatan RM4,000 dan ke bawah atau individu bujang berumur 21 tahun ke atas dengan pendapatan tidak melebihi RM2,000 sebulan.
Peserta yang mendaftar di bawah program eKasih dengan pendapatan RM1,500 dan ke bawah turut layak menerima insentif BR1M. – Agensi/Mynewshub.cc/HAA