GEORGE TOWN – Barisan Nasional (BN) Pulau Pinang hari ini mendakwa kerajaan DAP negeri tersebut tidak bercakap benar dalam urusan melibatkan pembayaran projek terowong dasar laut.
Pengerusi BN Pulau Pinang, Teng Chang Yeow berkata pihak kerajaan negeri mendakwa konon satu sen pun belum pernah dibayar untuk projek terowong dasar laut itu.
Namun dalam jawapan kepada Dewan Undangan Negeri pada 2 November lepas, kerajaan DAP Pulau Pinang memaklumkan RM11.2 juta dibayar secara tunai kepada sebuah syarikat perunding teknikal.
Beliau mendakwa syarikat perunding teknikal itu dilantik oleh kerajaan negeri untuk menyemak dan memperakui tuntutan pembayaran yang dibuat oleh kontraktor projek terowong dasar laut.
“Kerajaan DAP mendakwa tidak satu sen pun dibayar tetapi menerusi pertukaran tanah… sekarang setiap satu sen telah dibayar dan tanah sudah dipindah milik menyebabkan kepentingan rakyat Pulau Pinang terkorban.
“Bolehkah kerajaan negeri ini menjelaskan dengan jujurnya tentang pembayaran yuran perunding sebanyak RM11.2 juta semata-mata hanya untuk kerja-kerja menyemak dan memperakui pembayaran tuntutan,” katanya.
Pada sidang akhbar itu, Teng turut membela pihak media dan meminta Ketua Menteri, Lim Guan Eng agar tidak menyalahkan media dalam melaporkan isu itu kerana media tidak memutar belit fakta yang diperoleh.
“Hari ini kita dedahkan dokumen rasmi dan video klip yang kita peroleh, yang mana kita tidak boleh ubah apa-apa… jangan pula mendakwa ini kerja media BN, sebab semua media melaporkan apa yang benar,” katanya. – BERNAMA