BANGKOK – Polis Imigresen Thai menafikan laporan media Malaysia yang mendakwa pegawai-pegawainya menyekat pelawat Malaysia daripada memasuki negara itu kerana tidak membawa bersama wang tunai sekurang-kurangnnya 10,000 baht (kira-kira RM1,240).
Pemangku Ketua Polis Songkla, Kolonel Chutareth Yingyongdumrongsakul berkata, setahunya tidak ada pelawat Malaysia di pusat pemeriksaan imigresen di Selatan Thai diminta menunjukkan wang mereka sebelum dibenarkan memasuki Thailand.
“Dalam tempoh tahun baharu, saya berada di pusat pemeriksaan setiap hari, saya tidak melihat rakyat Malaysia diminta oleh pegawai untuk menujukkan wang tunai mereka. Pihak berkuasa hanya mengcop ketibaan mereka,” katanya kepada Bernama bila dihubungi hari ini.
Katanya, beliau terkejut dengan laporan berita oleh media Malaysia.
Bagaimanapun, pemangku ketua polis itu menjelaskan menurut undang-undang imigresen, pelawat yang berhasrat memasuk Thailand mestilah membuktikan kemampuan mereka untuk berbelanja untuk diri mereka sepanjag berada di negara ini.
“Undang-undang itu bertujuan menyekat pelawat yang hendak bekerja secara haram di Thailand. Pegawai imigresen hanya secara rawak memeriksa (meminta pelawat menunjukkan wang tunai atau cek) dari negara tertentu,” kata beliau.
Laporan media di Malaysia itu menyebut catatan sebuah blog oleh rakyat Malaysia yang mengadu mereka disekat masuk ke Thailand kerana mereka tidak mempunyai wang tunai yang cukup.
Kira-kira tiga juta rakyat Malaysia melawat Thailand tahun lepas, kebanyakannya menerusi sempadan darat. – BERNAMA