JOHOR BAHRU – Pejabat Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (PPDNKK) Johor menegaskan bekalan minyak masak di negeri itu mencukupi dan masyarakat tidak perlu membuat pembelian panik.
Pengarahnya Khairul Anwar Bachok berkata pada masa ini stok minyak masak Johor adalah sekitar 4,700 tan metrik yang dibekalkan oleh 37 pembungkus.
“Memang tiada masalah. Kalau ada yang kurang, kita masih mampu bekalkan,” katanya kepada pemberita selepas mesyuarat penyelarasan Program Karnival Mega Muafakat Johor 2018 di PPDNKK Johor, di sini hari ini.
Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Perdagangan dan Kepenggunaan Johor Datuk Tee Siew Kiong.
Khairul Anwar diminta mengulas laporan sebuah akhbar tempatan baru-baru ini yang antara lain menyatakan Johor mempunyai masalah bekalan minyak masak.
Sementara itu, mengenai karnival tersebut, Tee berkata kira-kira 30,000 pengunjung dijangka memeriahkan program yang dijadualkan berlangsung dari 26 hingga 28 Jan ini di perkarangan Stadium Tertutup Majlis Perbandaran Pasir Gudang.
Katanya dibuka dari 10 pagi hingga 10 malam, karnival jualan barang keperluan harian termasuk barang dapur basah dan kering itu akan menyaksikan diskaun harga sehingga 50 peratus berbanding di pasaran.
“Ini merupakan program tahunan kita yang selaras dengan usaha kerajaan negeri membantu rakyat menangani kos sara hidup yang tinggi.
“Pada tahun ini ia disertai 61 peniaga, pengilang dan pasar raya berbanding 50 peniaga pada tahun lalu.” katanya yang turut memberi jaminan barang yang dijual adalah barang baharu daripada kilang dan bukan barang yang hampir tamat tarikh luput.
Beliau berkata program serupa akan diadakan di Pontian pada Februari dan Muar pada Mac.
Peniaga yang berminat untuk menyertai Program Karnival Jualan Mega Muafakat Johor 2018 ini boleh menghubungi PPDNKK Johor di talian 07-2262041, katanya. – BERNAMA