PAPAR – Pemimpin pembangkang di Sabah yang seringkali menggunakan slogan ‘ubah’ apabila menjelang pilihan raya, perlu ‘ubah diri’ terlebih dahulu sebelum mengubah orang lain, kata Menteri Luar Datuk Seri Anifah Aman.
“Yang cakap mahu ubah Sabah tu, saya kenal mereka daripada sejak saya mula masuk politik. Mereka tidak mempunyai kemampuan untuk membantu rakyat dan mereka sendiri memerlukan bantuan untuk diri sendiri. Kalau kita kerajaan Barisan Nasional bukan kata ‘ubah’ tetapi kita terus memperbaiki dari semasa ke semasa,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis penyerahan bantuan musim tengkujuh kepada pekebun kecil getah Bongawan, dekat sini hari ini. Pada majlis itu, seramai 700 pekebun kecil getah sekitar daerah ini menerima bantuan itu daripada Lembaga Industri Getah Sabah.
Anifah yang juga Anggota Parlimen Kimanis berkata bantuan berkenaan bertujuan untuk membantu semua pekebun kecil yang terjejas sepanjang tempoh tiga bulan sepanjang musim hujan iaitu pada bulan November, Disember 2017 dan Januari 2018.
“Bantuan ini adalah inisiatif kerajaan negeri dalam usaha membantu meringankan beban kos sara hidup semua pekebun kecil getah ini.
“Bantuan yang diberikan ini bukan kempen pilihan raya. Program seumpama ini sering kali adalah untuk membantu rakyat. Oleh itu penerima bantuan perlu manfaatkan sebaik mungkin bantuan yang diberikan,” katanya. – BERNAMA