PEKAN – UMNO Bahagian Pekan hari ini, mendesak supaya anggota Parlimen Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar untuk menghadap dan memohon maaf kepada Sultan Pahang, Sultan Ahmad Shah kerana memperlekehkan baginda dalam ceramah politik.
Setiausahanya Datuk Ahmad Azmey Abu Talib berkata hanya permohonan maaf secara bersemuka dapat menyelesaikan kemelut dan mengurangkan kemarahan rakyat terhadap anggota Parlimen itu.
“Tindakan memalukan sultan di negeri ini amat dikesali dan jelas mempamerkan taktik politik kotor untuk meraih sokongan ramai. Kami mengutuk sekeras-kerasnya tindakan biadab Mahfuz.
“Sebagai penduduk Pekan yang dikenali sebagai bandar diraja, kami sangat terhiris dengan tindakan itu yang tidak menghormati institusi beraja dan Sultan Pahang,” katanya.
Ahmad Azmey berkata demikian kepada pemberita selepas membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pekan di sini hari ini, yang turut disertai pemimpin parti komponen Barisan Nasional (BN) Pekan.
Mahfuz dikecam selepas didakwa memperlekehkan kesihatan Sultan Ahmad Shah dalam ceramah politiknya yang semasa itu mengaitkan Pengerusi Pakatan Harapan, Tun Dr. Mahathir Mohamad.
Ahmad Azmey turut meminta Mahfuz disiasat dan diambil tindakan mengikut Akta Hasutan 1948 bagi memberikan peringatan kepada ahli politik lain supaya tidak mencabar institusi beraja diamalkan di negara ini.
“Tindakan tegas perlu diambil terhadap Mahfuz sekali gus memberi pengajaran kepada orang ramai untuk tidak membabitkan institusi diraja dengan politik,” katanya. – BERNAMA