ARAU – Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) dengan kerjasama pejabat Kedutaan Besar Azerbaijan di Kuala Lumpur dan Yayasan Tuanku Syed Putra (YTSP) Perlis menganjurkan pameran ‘Discovery Azerbaijan-An Exhibition’.
Menurut UniMAP, pameran tersebut yang menampilkan koleksi foto-foto Komemoratif 28 Tahun Memperingati Tragedi 20 Januari 1990 Azerbaijan berlangsung di Perpustakaan Tuanku Syed Faizuddin Putra (PTSFP) mulai hari ini sehingga 1 Feb ini.
“Pameran percuma ini untuk memberi peluang kepada orang ramai mengenali Azerbaijan dengan lebih dekat,” kata seorang anggota jawatankuasa penganjur kepada Bernama, hari ini.
Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail selaku Canselor UniMAP berkenan bercemar duli merasmikan pameran yang julung kali diadakan itu.
Berangkat sama Raja Puan Muda Perlis Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil selaku Tuanku Pro-Canselor UniMAP.
Keberangkatan tiba baginda berdua disambut oleh Naib Canselor UniMAP Prof Datuk Dr Zul Azhar Zahid Jamal dan Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar) Prof Mohd Fo’ad Sakdan.
Duta Besar Azerbaijan ke Malaysia, Brunei Darussalam, Myanmar dan Thailand yang berpangkalan di Kuala Lumpur, Qaley Allahverdiyev dan isteri Lala Allahverdiyeva turut hadir.
Bersempena pameran itu, Qaley memberi syarahan bertajuk ‘Azerbaijan: Independence History, Latest Achievement and Azerbaijan-Malaysia Relations,’ yang berkisar mengenai pengetahuan am, politik, ekonomi, sosial dan sukan.
Qaley juga mengadakan perbincangan dengan kepimpinan tertinggi UniMAP mengenai perancangan kerjasama dua hala di antara UniMAP dan institusi pengajian tinggi di Azerbaijan. – BERNAMA