RIYADH – Sebanyak 12 unta dilarang daripada menyertai pertandingan ‘ratu cantik’ unta setelah dikesan pernah disuntik botoks semata-mata untuk menampakkan bahagian bibir lebih menawan.
Menurut laporan media Arab Saudi, beribu-ribu ekor unta berarak ke Festival Unta Raja Abdul Aziz untuk dinilai keadaan bentuk bibir dan bonggol mereka untuk dinobatkan sebagai unta paling cantik di negara tersebut.
Acara tahunan ini bagaimanapun dicemari skandal setelah ramai berebut mahu hadiah wang tunai sebanyak 20 juta riyal (hampir RM21 juta) bagi setiap kategori menyebabkan sesetengah pemilik sanggup menipu penganjur.
Ciri-ciri utama pemenang dalam pertandingan ‘ratu cantik’ unta tersebut adalah haiwan mamalia gurun berkenaan lazimnya mesti memiliki rupa bentuk kelopak mata dan telinga yang agak besar, lapor laman berita tempatan.
Namun terdapat syarat-syarat ketat terhadap penggunaan pelbagai jenis ubat-ubatan untuk bahagian bibir unta atau mana-mana anggota tubuh yang didapati seperti sengaja dicukur atau dipotong bukan atas sebab perubatan.
Baca: Mahal Tetapi Susu Unta Semakin Popular Di Australia
Juga: Unta Iran Ada Nombor Plat Ekoran Banyak Nahas Trafik
Tahun ini juga, puluhan unta terpaksa dilarang pihak pengelola festival daripada menyertai pertandingan tersebut setelah doktor haiwan mendapati sebahagian daripada mereka rupa-rupanya sudah menjalani pembedahan plastik.
“Unta itu juga diberi suntikan botoks di klinik doktor veterinar. Mereka menggunakan botoks pada bibir dan hidung malah juga pada tulang rahang,” Ali al-Mazrouei, anak seorang penggembala unta memberitahu akhbar setempat.
“Ini menjadikan saiz kepala unta ini menjadi lebih besar. Jadi apabila unta tersebut tiba di festival, (penonton) akan mengatakan ‘lihatlah, betapa besarnya kepala unta itu. Mata dan hidungnya adalah cukup besar.”
Setelah larangan itu dikenakan, ketua hakim pertandingan, Fawzan al-Madi, memberitahu Reuters: “Unta adalah simbol Arab Saudi. Dulu kami jaga untuk keperluan harian. Sekarang kami jaga sebagai kegiatan masa lapang.”
Festival sepanjang sebulan itu adalah yang acara pertandingan paling besar di negara rantau Teluk itu dan melibatkan sehingga 30,000 ekor unta, lapor laman The Guardian. – Agensi/Mynewshub.cc/HAA