JIKA anda pernah menonton filem koboi, pelakon biasanya dipaparkan gemar menggigit emas untuk cuba mengesahkan ketulenan logam tersebut.
Emas tulen adalah sangat keras dan tidak akan meninggalkan tanda selepas digigit, berbanding emas palsu.
Namun lain pula jadinya di China apabila seorang pemuda cuba melakukan ujian yang sama terhadap bateri iPhone yang baharu dibelinya.
Hasilnya ialah bateri gajet tersebut meletup secara tiba-tiba!
Insiden menggemparkan itu berlaku di sebuah premis elektorik di bandar Nanjing pada 19 Januari lalu.
Berdasarkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) premis terbabit, berlaku letupan yang mengeluarkan api sejurus pemuda berkenaan cuba ‘mengunyah’ bahagian bateri telefon pintar tersebut.
Letupan yang berlaku turut mengakibatkan pembeli dan seorang wanita disambar api namun kedua-dua mangsa dilaporkan tidak mengalami kecederaan yang teruk.
Pihak berkuasa masih lagi menyiasat sama ada letupan itu disebabkan bateri yang dijual di premis berkenaan sememangnya palsu ataupun ia terjadi disebabkan tindak balas gigitan yang dilakukan oleh lelaki tersebut.
Sebelum ini, cawangan Apple di Korea Selatan terpalit dengan isu melibatkan pengeluaran iPhone yang tidak berkualiti setelah ramai pengguna melaporkan aduan berhubung jangka hayat bateri yang terlalu singkat.
Ekoran itu, Apple menawarkan penukaran bateri pada harga rendah iaitu sekitar RM115, dan ia difahamkan jauh lebih murah daripada servis penukaran biasa. – MYNEWSHUB.CC