KEGILAAN masyakarat dunia merakam video sesuatu kejadian atau aksi sendiri menggunakan kamera telefon bimbit makin menjadi-jadi.
Namun, apa yang dikesali mereka tidak mengira tempat dan situasi untuk melakukan perkara tersebut.
Malah, ada yang sanggup membahayakan nyawa sendiri semata-mata mahu mendapat sudut terbaik ketika merakam video. Ia sama juga seperti swafoto.
Terbaharu, seorang lelaki di India nyaris kehilangan nyawa apabila merakam video aksinya sendiri di landasan kereta api.
Video dramatik itu menunjukkan seorang lelaki bernama Shiva, berdiri di landasan keratapi di kawasan Lingampally di Hyderabad, India dan kelihatan tersenyum di kamera telefon bimbitnya.
Namun, beberapa saat kemudian, kereta api tersebut terus merempuhnya dengan kuat sebelum rakaman menjadi kosong.
Melihat kepada rakaman tersebut, ramai yang menyangka dia telah mati. Namun, ajaibnya dia terselamat walaupun cedera parah di kepala. Inilah orang kata kalau ajal belum tiba.
Sebelum dirempuh, kereta api tersebut telah memberi bunyi amaran. Malah, rakannya yang berada di situ turut menjerit ke arahnya. Namun, Shiva berkata ‘tunggu’ dan bertekad untuk merakam kereta api yang lalu.
Dia kelihatan tidak menyedari bahaya dan tersenyum. Nampak gayanya dia tersalah menilai kelajuan kereta api tersebut. – MYNEWSHUB.CC