BANGKOK – Seorang wanita buta dipenjara 18 bulan oleh Mahkamah Thailand semalam kerana berkongsi tulisan Facebook yang dianggap menghina keluarga diraja negara itu, kata peguamnya.
Nuhurhayati Masoe, 23, berasal dari wilayah majoriti Islam di Yala, dihukum kerana menerbitkan petikan daripada satu artikel menerusi media sosial itu pada Oktober 2016.
Dia mendengar mengenai artikel terbabit menerusi aplikasi radio untuk golongan cacat penglihatan.
“Hakim mengatakan mereka bersimpati dengan tertuduh kerana keadaan dirinya namun tidak dapat menarik balik hukuman itu kerana dia melakukan kesalahan serius,” kata peguam bela Kaosar Aleemama kepada AFP.
Kaosar menambah, hukuman asal penjara tiga tahun ke atas anak guamnya dikurangkan kepada 18 bulan kerana tertuduh mengaku salah. – AFP/BH ONLINE