JOHOR BAHRU – Seorang lelaki warga emas yang dilaporkan hilang ketika memancing bersendirian di Sungai Parit Lapis Bangas, Seri Medan, Batu Pahat dekat sini semalam, ditemukan lemas hari ini.
Ketua Polis Daerah Batu Pahat ACP Abdul Wahib Musa berkata mayat Syukri Masran @ Maseran, 71, yang berasal dari Kampung Parit Bangas, dijumpai terdampar berhampiran Jeti Sungai Simpang Kiri oleh pasukan penyelamat pada 3.53 petang tadi.
Beliau berkata mangsa keluar dari rumahnya pada 5.30 petang semalam untuk memancing di kawasan berkenaan tetapi tidak pulang ke rumah.
“Anak lelakinya yang bimbang cuba menghubungi mangsa melalui telefon bimbitnya namun tidak berjawab. Anaknya kemudian menghubungi penduduk kampung dan Balai Polis Seri Medan untuk meminta bantuan mencari dan menyelamat mangsa,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Operasi itu yang disertai 30 anggota bomba, enam anggota polis dan 50 penduduk kampung kemudian menemui sampan yang digunakan mangsa, sebuah motosikal dan telefon bimbit mangsa di tempat memancing.
Abdul Wahib berkata berdasarkan keterangan anak lelakinya, mangsa menghidap penyakit darah tinggi dan kekejangan urat saraf.
Mayat warga emas itu dihantar ke hospital berdekatan untuk bedah siasat. – BERNAMA