BAGI yang mempunyai hobi memelihara ikan hiasan di dalam akuarium, mereka kini boleh menjadikan ikan Yu Cicak Lampai dari perairan Semenanjung Malaysia sebagai antara ikan peliharaan.
Ketua Pusat Ikan Hiasan Port Dickson, Nawar A. Karim berkata ikan itu dari spesies Chiloscyllium Hasselti merupakan spesies yu yang manja dan tidak mendatangkan bahaya kepada ekosistem di dalam sesebuah akuarium.
“Ikan Yu Cicak Lampai sebenarnya tidak ganas dan boleh dikomersilkan. Ia boleh bergaul dengan ikan-ikan biasa sejak kecil sehingga dewasa,” katanya ketika ditemu bual dalam program Nine11 Bernama News Channel hari ini.
Perkara yang perlu diberi keutamaan ketika memelihara Yu Cicak Lampai adalah memastikan tahap kemasinan air dan suhu akuarium mencapai paras optimum selain menyediakan ruang lebih besar buatnya untuk mengelaknya mudah stres.
“Bagi spesies ini, suhu air dalam akuarium mestilah berada pada tahap 28 darjah Celcius dan kemasinan air berada pada bacaan 28 hingga 32. Ikan ini juga memerlukan ruang yang besar.
“Ini kerana ia boleh mencecah saiz lebih kurang 60 sentimeter hingga 1 meter,” katanya. Beliau memberitahu bahawa anggaran kos memelihara ikan Yu Cicak Lampai pula kira-kira RM5,000 untuk seekor.
Nawar berkata Pusat Ikan Hiasan Port Dickson juga berjaya menetaskan lima ekor anak ikan yu berkenaan.
“Kita juga masih menunggu beberapa lagi telur untuk proses penetasan manakala proses mengawan untuk pasangan induk juga diteruskan,” katanya.
Sementara itu Pengarah Perikanan Negeri Sembilan, Halimi Abu Hanip berkata orang ramai boleh memelihara ikan Yu Cicak Lampai kerana ia bukan kategori ikan larangan. – BERNAMA