SEREMBAN – Sepuluh banduan terpilih dari Penjara Seremban diraikan hari ini dalam majlis jalinan kasih sempena sambutan Tahun Baharu Cina anjuran MCA, di sini.
Ketua Pemuda MCA Kebangsaan Datuk Chong Sin Woon berkata program itu diadakan bertujuan mengeratkan lagi hubungan antara banduan dan keluarga masing-masing.
“Kita tahu bahawa banduan ini memerlukan sokongan keluarga dan kasih sayang untuk mereka kembalikan keyakinan diri. Setelah tamat (hukuman penjara) nanti, mereka perlu kembali kepada masyarakat.
“Saya meminta masyarakat menerima mereka kembali sebagai sebahagian daripada kita. Walaupun mereka pernah buat kesalahan dan kesilapan yang melanggar undang-undang, tapi kalau mereka ingin mengubah diri mereka, kita perlu terima dengan sebaik mungkin dan beri peluang kedua,” katanya, hari ini.
Chong yang juga Timbalan Menteri Pendidikan berkata demikian ketika ditemui selepas program tersebut, yang turut dihadiri Ketua MCA Bahagian Seremban Siow Koi Voon dan Pengarah Penjara Seremban Mohammad Nazri Nasrudin.
Pada majlis itu, kesemua mereka turut bersama-sama menggaul ‘Yee Sang’ yang menjadi tradisi semasa sambutan perayaan tersebut dan turut disajikan dengan pelbagai juadah tradisional masyarakat Cina serta dihiburkan dengan persembahan nyanyian daripada empat banduan. – BERNAMA