SIAPA yang tak teringin bercuti ke seluruh dunia? Kalau hendak melancong, pasti banyak barang yang perlu disiapkan. Biasanya apa perkara yang perlu kita lakukan kalau nak melancong ya?
Terdapat beberapa perkara yang perlu dititik beratkan oleh newbies yang nak berjinak-jinak menjadikan melancong sebagai hobi ataupun aktiviti masa lapang.
1. Lokasi yang mudah
Antara salah satunya ialah bagi memulakan satu perjalanan baharu, kita perlu memilik lokasi yang mudah untuk dituju.
Tidak kira ianya mudah dari segi pengangkutan, penginapan ataupun soal makanan. Mulakan langkah dengan lokasi yang anda selesa atau tahu banyak info tentangnya.
Seperti contoh, anda melancong ke Kashmir, India dan itu merupakan trip pertama anda ke sana. Pastikan anda sudah membuat kajian yang terperinci tentang kawasan di sana terlebih dahulu.
2. Data internet
Bagi penggemar fotografi yang tak boleh berpisah dengan media sosial, anda pasti tahu betapa pentingnya akses internet ketika melancong ke luar negara!
Sekali sekala melancong, pasti anda mahu kongsikan gambar di semua media sosial yang anda miliki. Pastikan anda sudah membuat beberapa survey tentang pelan internet yang murah di destinasi percutian tersebut.
Kebiasaanya pelancong akan beli sim kad yang murah tetapi dengan data internet yang banyak dan laju. Anda boleh pilih untuk beli ketika berada di lapangan terbang ataupun di mana-mana kedai telekomunikasi yang lain.
3. Beg yang sesuai
Setengah orang yang sering melancong, mereka pasti sudah tahu apa yang perlu dan tidak perlu untuk dibawa ketika melancong dan beg yang sesuai.
Kebanyakan pelancong yang berpengalaman, mereka hanya akan membawa beg galas sahaja dan bukannya beg roda kerana ianya boleh dikatakan agak leceh.
Jika anda cuma membawa beg galas belakang, tak perlu risau jika perlu mendaki untuk sampai ke tempat penginapan.
Lagi pula kalau bawa beg roda, nanti bila dah sampai waktu untuk pulang ke tanah air, beratnya pasti akan bertambah daripada sebelum anda datang ketika mahu bercuti.
4. Peranti gajet
Bercuti sambil menenangkan fikiran pastinya merupakan satu terapi yang paling diimpikan oleh setiap individu yang sudah penat seharian berhempas pulas di tempat kerja.
Jika anda jenis yang suka meluangkan masa dengan gajet ketika beruti, pastikan anda memiliki laptop ataupun kamera yang mudah dibawa serta ringan untuk dibawa ke mana-mana sahaja.
Headphone ataupun earphone pastinya menjadi peneman bagi anda yang sedang bercuti sambil menghabiskan masa melayari internet.
5. Bawa pakaian patut sahaja
Setengah orang mempunyai masalah ketika mahu mengemas pakaian ketika mahu bercuti. Pastinya mereka tidak tahu pakaian apa yang perlu dipakai ketika bercuti.
Kalau hanya bercuti selama tiga hari dua malam, jangan pula dibawa baju sehingga sepuluh pasang! Pakaian yang tidak diperlukan pastinya akan memenuhkan ruang di dalam beg anda sahaja.
Jangan risau, anda boleh mencuci pakaian ketika bercuti dengan menggunakan perkhidmatan basuhan di hotel. Tapi kalau rajin, apa salahnya basuh guna tangan.
6. Data backup
Malang pastinya tidak berbau dan tak ada siapa yang tahu bila sesuatu musibah itu akan menimpa kita.
Sebelum ditimpa musibah seperti kehilangan telefon bimbit ataupun kamera, lebih elok jika anda membuat backup simpanan bagi gambar-gambar mahupun video sepanjang percutian.
7. Aplikasi pilihan memudahkan perjalanan
Google Translate bagaikan satu kemudahan magis yang perlu anda gunakan jika berada di luar negara.
Lagi-lagi jika anda ke negara yang kebanyakan penduduknya tidak tahu berbahasa Melayu atau Inggeris, pastinya ia menjadi aplikasi pilihan anda semasa ebrcuti.
Selain itu, Google Map juga penting bagi anda yang bercuti sendirian atau digelar sebagai travel solo kerana mahukan cabaran.
Google Map boleh bantu anda kemana-mana sahaja yang anda mahu pergi tanpa risau kerana ia juga turut mempunyai pilihan pengangkutan yang anda mahu.
8. Cuba menginap di asrama
Jika anda merupakan seorang backpackers, pastinya penginapan di asrama menjadi pilihan utama.
Kebanyakan pelancong yang melancong ke luar negara, mereka pastinya memilih penginapan seperti asrama kerana ia lebih murah dan jika bernasib baik, layanan pekerja lebih mesra daripada hotel yang jauh mahal harganya.
Terdapat banyak laman web yang menawarkan harga serta jenis asrama pilihan untuk anda, tapi sebelum itu pastikan anda membaca review daripada penyewa yang lain terlebih dahulu.
9. Jaga telefon bimbit
Biasanya kalau dah seronok bercuti, pasti anada akan ralit menikmati keindahan kawasan yang anda kunjungi. Tapi, jangan sampai barang paling berharga milik anda pula yang hilang!
Telefon bimbit mungin merupakan satu gajet yang mudah unfuk dimiliki tetapi isi di dalam telefn bimbit itu lebih bernilai daripada harganya sendiri.
Bayangkan jika gambar peribadi, serta data anda jatuh ke tangan oran yang tak bertanggungjawab, apa agaknya yang akan terjadi?
Pastikan telefon bimbit mempunyai kata kunci agar ianya tidak mudah untuk diceroboh oleh orang lain ketika anda sedang melancong di dalam mahupun di luar negara.
10. Jangan bagi peluang penyeluk saku
Bayangkan ketika anda sedang bersesak ketika menaiki subway di luar negara, tiba-tiba anda dapati telefon bimbit atau dompet anda tiada di dalam beg anda?
Rupa-rupanya barang itu sudah selamat berada di tangan orang yang tak sepatutnya ketika anda meletakkan beg itu di belakang anda. Tak salah jika kita mempunyai perasaan lebih berhati-hati ketika melancong.
Sentiasa berhati-hati dengan keadaan sekeliling supaya anda dapat mengelak malang yang tidak sepatutnya terjadi akibat kerana kelekaan anda sendiri.
Jadi anda sudah bersedia untuk menghabiskan hari minggu anda di mana-mana lokasi percutian?
Di Malaysia sahaja terdapat banyak lokasi menarik untuk dilawati. Tak kira lah jika anda mahukan percutian di kawasan kampung, pantai, hutan ataupun di bandar sekali pun.
Terokalah dunia luar kerana anda pasti akan terjumpa dengan banyak benda yang anda sendiri tak pernah terfikir. Pengalaman itu penting… Bak kata orang, jauh perjalanan, luas pemandangan. – MYNEWSHUB.CC/AH