GEORGE TOWN – Jabatan Imigresen menahan 112 pendatang asing tanpa izin (PATI) termasuk sembilan wanita dalam serbuan di rumah kongsi sebuah tapak pembinaan di Bandar Cassia, Batu Kawan dekat sini, awal hari ini.
Ketua Bahagian Penguatkuasa Imigresen Pulau Pinang, Khwaja Banthey Navaz Mohamed berkata kesemua mereka yang berusia antara 28 dan 50 tahun itu ditahan hasil Ops Ikrar di tapak pembinaan itu bermula 1 pagi tadi.
“Semasa serbuan, kebanyakan warga asing itu sedang tidur dan mereka terkejut selepas dimaklumkan berhubung operasi berkenaan malah ada cuba melarikan diri sebaik terjaga. Mereka yang ditahan terdiri daripada 58 lelaki Bangladesh, 33 Indonesia termasuk lapan wanita dan 21 Myanmar termasuk seorang wanita,” katanya di sini hari ini.
Beliau berkata hasil pemeriksaan mendapati mereka yang bekerja di tapak pembinaan itu tidak mempunyai dokumen perjalanan diri, menyalahguna pas lawatan sosial dan tinggal lebih masa.
Khwaja Banthey Navaz berkata pihaknya sedang mengesan beberapa majikan kepada semua warga asing itu untuk siasatan lanjut kerana menggaji PATI.
Sementara itu, 20 lelaki rakyat asing berusia antara 25 dan 38 tahun ditahan dalam operasi berasingan di stesen minyak, restoran nasi kandar dan kedai runcit di Bukit Mertajam dekat sini, pada 9 malam tadi.
“Mereka terdiri daripada sembilan rakyat Bangladesh, enam Myanmar serta lima Indonesia dan bekerja di premis perniagaan itu tanpa dokumen sah, tinggal lebih masa, menyalahguna pas lawatan sosial dan tiada permit kerja. Turut ditahan tiga lelaki yang juga majikan mereka kerana menggaji pendatang asing tanpa izin,” katanya. – BERNAMA