MACHANG – Seramai 145 remaja bawah umur terbabit dengan aktiviti penyalahgunaan dadah di Kelantan pada tahun lepas, kata Ketua Polis Kelantan Datuk Hasanuddin Hassan.
Hasanuddin berkata mereka merupakan sebahagian daripada 984 remaja yang ditahan polis selepas terbabit dengan pelbagai kes juvana.
āAda sebahagian daripada remaja bawah umur itu yang berusia seawal sembilan tahun sudah mula mencuba menggunakan dadah dan ia tidak sepatutnya berlaku,ā katanya kepada pemberita selepas merasmikan Minggu Disiplin, Pertauliahan Pengawas dan Ketua Tingkatan di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Hamzah di sini, hari ini.
Seramai 180 murid termasuk Exco dan Ketua Tingkatan dari sekolah berkenaan menerima surat tauliah masing-masing pada majlis berkenaan.
Hasanuddin berkata remaja bawah umur mencuba dadah selepas dipengaruhi oleh rakan sebaya dengan alasan tidak āsadoā (hebat) jika tidak mencuba dadah.
Dalam pada itu, beliau berkata polis akan mengambil tindakan tegas termasuk menyaman pelajar yang menunggang motosikal tanpa lesen serta tidak memakai topi keledar.
āKita akan laksanakan undang-undang tanpa memilih bulu walaupun terdapat alasan pelajar berkenaan hanya menunggang motosikal ke sekolah sahaja,ā katanya. – BERNAMA