PUTRAJAYA – Jabatan Imigresen (JIM) menahan seramai 146 orang warga asing dan rakyat tempatan yang terbabit dalam pelbagai kesalahan dalam siri Op Ikrar semalam di sekitar Puchong dan Seri Kembangan, Selangor.
Ketua Pengarahnya Datuk Seri Mustafar Ali berkata operasi fasa pertama dijalankan di tiga pusat hiburan di Bandar Puteri Puchong hasil aduan yang diterima tentang penyalahgunaan pas serta tidak mempunyai permit atau dokumen sah warga asing yang membawa kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63.
Hasil pemeriksaan yang dijalankan seramai tujuh lelaki Bangladesh, masing-masing seorang warga Indonesia dan lelaki Myanmar ditahan.
Turut ditahan ialah 21 wanita Vietnam, empat wanita Thailand, dua wanita Indonesia dan seorang wanita Laos, yang kesemuanya disyaki bekerja sebagai penari, penyanyi dan pelayan pelanggan (GRO), katanya dalam kenyataan hari ini.
Mustafar yang mengetuai operasi itu berkata pegawai operasinya juga berhadapan dengan pelbagai cabaran antaranya ada orang tempatan di premis tersebut cuba melindungi warga asing berkenaan dan membuat provokasi selain cubaan melarikan diri.
“Majikan juga menyediakan lorong tikus dan tempat persembunyian untuk wanita-wanita GRO di dalam tangki air namun dapat dikesan pegawai yang menjalankan operasi,” katanya.
Mustafar berkata turut ditahan lima lelaki dan seorang wanita warga Malaysia yang mengaku sebagai juruwang, pengurus dan penyelia premis semasa pemeriksaan dijalankan oleh anggota penguat kuasa.
Beliau berkata operasi fasa seterusnya dijalankan di kawasan perusahaan Seri Serdang membabitkan sebuah kilang, sebuah penempatan asrama pekerja dan kawasan sekitarnya.
JIM menahan seramai 100 lelaki yang terdiri daripada 92 warga Bangladesh dan lapan warga Myanmar di situ.
“Asrama tersebut menempatkan 89 orang warganegara Bangladesh yang tinggal bersesak kerana menunggu panggilan pekerjaan yang dijanjikan oleh ejen. Turut ditahan seorang lelaki tempatan yang mengaku sebagai penyelia premis,”katanya.
Antara kesalahan yang dikenal pasti ialah tiada dokumen pengenalan diri, tinggal lebih masa, dan lain-lain kesalahan yang melanggar Akta Imigresen 1959/63, Akta Pasport 1966 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963, katanya.
Katanya, kesemua tahanan bagi operasi fasa pertama ditempatkan di Depoh Tahanan Imigresen Putrajaya dan untuk operasi fasa kedua, tahanan ditempatkan di Depoh Tahanan Imigresen Bukit Jalil untuk tujuan siasatan dan tindakan lanjut. – BERNAMA