SEREMBAN – Seramai 250 peserta menyertai Program Daurah Azan Bersanad anjuran pusat Baitul Khadeejah Al-Kubro di Surau Ibu Khaldun, Taman Lavender Heights di Senawang di sini, kelmarin.
Pengerusi pusat berkenaan, Siti Aishah Johari berkata, program julung kali itu bertujuan berkongsi kaedah azan yang betul seperti diajarkan Rasulullah SAW.
Katanya, peserta diberi pendedahan oleh seorang guru, Syeikh Husam Nasuh at-Taiyyarah, 35, yang didatangkan khas dari Damsyik Syria.
āSyeikh Husam seorang guru nasyid, taranum dan azan dari Asia Barat. Beliau bersanad bersama qasidah Arab tersohor, Syeikh Nuruddin Khursyid dan ulama al-Quran, Syeikh Muhammad Arif al-A’Saali,ā katanya.
Siti Aishah berkata, Syeikh Husam dibantu Pengerusi Akademi Darul Muhibbah Kuala Lumpur, Ahmad Shadan Alhadrami yang bertindak sebagai penterjemah.
āPada program itu, semua peserta tampil mengalunkan azan di hadapan Syeikh Husam sebelum bacaan diperbetulkan membabitkan sebutan, makhraj dan taranum. Ia bertujuan meningkatkan mutu laungan azan diwarisi Rasulullah,ā katanya.
Beliau berkata, pihaknya menyasarkan penyertaan 100 individu dan tidak menjangka ia mencecah sehingga 250 orang termasuk remaja dan dewasa.
āMereka yang hadir bukan sahaja dari negeri ini, malah Melaka, Kuala Lumpur, Pahang dan Johor. Sambutan diterima menggalakkan dan kami bercadang menganjurkannya lagi pada masa depan,ā katanya.
Sementara itu, Syeikh Husam berkata, program sama pernah dianjurkan di Kuala Lumpur pada 2016 namun kurang menerima sambutan.
āDi Negeri Sembilan, pembabitannya sangat luar biasa dan hingga kini 400 individu diajarkan kaedah azan yang betul di negara ini,ā katanya. – myMetro Online