PETALING JAYA – Sebuah kedai emas di dalam sebuah pasar raya di Kota Damansara di sini, dirompak oleh tiga lelaki, pagi tadi.
Menurut saksi, kejadian berlaku kira-kira 11.30 pagi.
“Saya terdengar bunyi kaca pecah, lalu saya pergi melihat dan ternampak tiga lelaki bertopeng sedang merompak kedai emas. Saya terus menyembunyikan diri bersama rakan,” katanya yang hanya mahu dikenali sebagai Rusmini, ketika ditemui di lokasi kejadian.
Dia yang bekerja di sebuah premis di pasar raya itu mendakwa ini kali kedua kedai emas tersebut dirompak dalam masa empat bulan.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Petaling Jaya ACP Mohd Zani Che Din ketika dihubungi Bernama mengesahkan kejadian.
Tanpa mendedahkan waktu kejadian dan jumlah kerugian, Mohd Zani berkata suspek dipercayai membawa objek menyerupai pistol ketika melakukan jenayah itu.
Kesemua suspek melarikan diri sejurus selepas rompakan tetapi tiada sebarang tembakan dilepaskan, katanya.
Menurut sumber polis terdapat enam pekerja di dalam premis itu ketika kejadian.
“Tiada pelanggan ketika kejadian,” kata sumber itu. – BERNAMA