KUALA LUMPUR – Tiga pekerja kontrak cedera dalam kejadian kebocoran gas di bilik janakuasa di aras bawah tanah sebuah bank di Jalan Sultan Ismail di sini, petang ini.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Kuala Lumpur (JBPM KL), Khirudin Drahman berkata dalam kejadian 3.52 petang itu, seorang daripada mangsa cedera di kepala manakala dua lagi menghadapi masalah sesak nafas.
“Sewaktu kejadian tiga pekerja itu diarahkan untuk menukar tabung gas karbon dioksida di tempat kejadian,” katanya kepada Bernama di sini hari ini.
Beliau berkata susulan kejadian itu sepasukan anggota Unit Bahan Berbahaya (Hazmat) dikerahkan ke lokasi kejadian manakala mangsa yang cedera dihantar ke Hospital Kuala Lumpur.
Turut dikerahkan 22 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Hang Tuah dan Jalan Tun Razak. – BERNAMA
*Video di bawah tiada kena mengena dengan kejadian tersebut…