KUCHING – Anggota Batalion 11 Pasukan Gerakan Am (PGA) Batu Kawa menahan lima lelaki warga Indonesia bersama lima bungkusan mengandungi serbuk kristal disyaki dadah jenis syabu bernilai RM1.4 juta di Pos Jawatankuasa Perancangan Gerakan (JPG) Telok Melano di Sematan pada Khamis.
Pegawai Pemerintah Batalian 11 PGA Batu Kawa, Supt Muhammad Sar’ie Fauzi berkata dalam kejadian kira-kira 4.30 petang itu, kelima-lima suspek sedang menunggang tiga motosikal dari arah Kampung Telok Melano menuju sempadan Malaysia-Indonesia.
“Sepasukan anggota PGA diketuai Inspektor S. Nawinthan bertindak menahan kelima-lima suspek yang kelihatan mencurigakan di hadapan pos kawalan tersebut.
“Hasil daripada pemeriksaan ke atas beg galas dan beg sendeng yang dibawa dengan cara menggalas dan menyendeng oleh kelima-lima suspek telah menjumpai lima bungkusan seberat lima kilogram dibungkus menggunakan aluminium foil. Hasil pemeriksaan lanjut mendapati bungkusan tersebut mengandungi serbuk kristal yang disyaki dadah jenis syabu,” katanya dalam kenyataan di sini malam ini.
Sar’ie berkata berikutan itu kelima-lima suspek berusia lingkungan 26 hingga 56 tahun itu ditahan dan satu laporan polis dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah Bau semalam.
“Kelima-lima suspek, tiga motosikal serta dadah yang dirampas telah diserahkan untuk siasatan lanjut. Kes disiasat mengikut Seksyen 39 (B) Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya. – BERNAMA