DAMATURU – Tentera Nigeria berjaya menyelamatkan 76 pelajar perempuan yang dilaporkan hilang semalam, susulan serangan yang dilancarkan oleh Boko Haram di sebuah sekolah di timur laut negara ini.
Menurut pihak berkuasa, anggota tentera turut menemui dua lagi mayat pelajar sekolah terbabit.
Terdahulu, lebih 100 pelajar dilaporkan hilang, iaitu dua hari selepas Boko Haram menyerang sekolah mereka, sekali gus menimbulkan kebimbangan berulangnya kejadian penculikan di Chibok pada 2014.
Dalam kejadian pada pagi Isnin lalu, militan Daesh menyerbu sekolah menengah sains perempuan kerajaan di Dapchi, Yobe, namun menurut penduduk tempatan semua pelajar dan guru berjaya menyelamatkan diri.
Bagaimanapun, kehilangan mereka menimbulkan kebimbangan selepas seorang pelajar yang terselamat mendakwa pelajar perempuan terbabit dilarikan pemberontak Boko Haram. – Reuters/ AFP/BH ONLINE