JOHANNESBURG – Bekalan elektrik terputus dikenal pasti punca 955 pelombong emas terperangkap di bawah tanah, semalam.
Bagaimanapun, pemilik lombong berkenaan berkata, keadaan semua pelombong itu tidak membimbangkan.
Syarikat perlombongan Sibanye-Stillwater berkata, bekalan elektrik itu terputus akibat ribut, menyebabkan lif yang digunakan untuk membawa pekerja dari lombong emas Beatrix di bandar Welkom itu tidak berfungsi.
Jurucakap Sibanye-Stillwater, James Wellsted ketika dihubungi berkata, 955 pelombong disahkan masih terkandas di kawasan lombong, namun mereka berada di kawasan menunggu yang memiliki aliran udara mencukupi.
“Kami membekalkan mereka makanan dan air yang mencukupi, justeru semuanya berada dalam keadaan baik.
“Usaha sedang dilakukan untuk memulihkan bekalan tenaga bagi membolehkan semua pelombong dibawa ke atas,” katanya.
Beliau berkata, kedalaman sebenar kawasan semua pelombong itu terperangkap tidak dapat dipastikan, tetapi lombong berkenaan memiliki 23 tingkat. – AFP/BH ONLINE