JAKARTA – Masyarakat Islam khasnya pasangan kekasih remaja yang hangat bercinta di wilayah Aceh sah dibenarkan menyambut Hari Valentine tanpa sebarang masalah, lapor media tempatan.
Berita gembira itu dinyatakan Gabenor Aceh, Irwandi Yusuf sekali gus menafikan amaran bertulis dikeluarkan Ketua Daerah Aceh Besar, Mawardy Ali yang menguatkuasakan larangan sambutan tersebut pada Jumaat lalu.
“Nggak (tiada) keluarkan surat, sebetulnya perayaan (disambut) asal jangan berlebihan, itu hukumnya mubah (boleh) asal jangan keterlaluan,” jelas beliau ketika ditemui media di pejabat Naib Presiden Indonesia di sini hari ini.
Irwandi menegaskan pandangannya semasa ditanya pemberita mengenai larangan Daerah Aceh Besar mengenai Hari Valentine sambil menyatakan apa yang ada ketika ini hanyalah pengharaman sambutan Tahun Baru Masihi.
“Ini imbauan (amaran) sahaja, bukan larangan, kerana kita harus mempertimbangkan syarat-syarat dari warga lain yang nggak suka,” ujarnya dan menyerahkan isu itu mengikut keperluan pihak pemerintah kabupaten terbabit.
Mawardy dilaporkan mengeluarkan amaran bertulis menegaskan penguatkuasaan larangan Hari Valentine oleh remaja Muslim kerana didapati bertentangan dengan pelaksanaan hukum syariah Islam di wilayah autonomi itu.
Ia malah termaktub dalam Undang-Undang Nombor 44 berkaitan Penyelenggaran Keistimewaan Provinsi Daerah Istimewa Aceh serta Qanun Provinsi Aceh Nombor 11, Tahun 2002 mengenai bab Pelaksanaan Syariat Islam.
Baca: Aceh Wajib Semua Pramugari Penerbangan Berhijab
Lagi: Gay Disebat 85 Kali Di Aceh Sebab Seks Ala Kaum Sodom
Juga: Lelaki Kristian Biadab Jual Arak Disebat Di Aceh
Ini meliputi bidang aqidah, urusan ibadah dan syiar Islam. Mawardy turut menasihati masyarakat Aceh untuk buat laporan sekiranya ada mana-mana pihak ingkar dengan tetap degil menganjurkan perayaan maksiat berkenaan.
“Kepada semua warga Aceh, kalian tidak dibenarkan menyambut Hari Valentine dan jika terlihat mana-mana pihak mengelola sambutan itu, sila segera lapor kepada pihak polis negeri dan pegawai agama tempatan,” ujar Mawardy.
Polis daerah dan pegawai agama di Daerah Aceh Besar ujar beliau, diminta untuk terus mengawasi setiap kegiatan remaja belum berkahwin yang ternyata melanggar syariat Islam, adat istiadat dan norma setempat masyarakat Aceh.
Selain itu, Mawardy telah menghantar surat larangan itu kepada semua wakil rakyat di Aceh. Tindakan itu dikecam pelbagai badan hak asasi antarabangsa yang mendakwa ia menyekat pasangan kekasih meraikan perayaan tersebut.
Lazimnya di negara-negara Barat, Hari Valentine disambut dengan remaja bercinta bertukar-tukar hadiah istimewa seperti coklat dan bunga mawar malah ada yang peluk bercumbuan sehingga melakukan zina bebas tanpa batasan.
“Kita sudah menerima surat larangan sambutan Hari Valentine dari ketua daerah Aceh Besar. Kita akan melakukan pemeriksaan bagi cegah sambutan ini dianjurkan pada 14 Februari,” kata Ketua Syariat Islam Aceh Besar, Carbaini.
Terdahulu, Mawardi pernah mencetuskan kontroversi apabila mengumumkan semua pramugari Muslim yang mengikuti pesawat penerbangan ke rantau itu wajib untuk memakai tudung kepala. – Agensi/Mynewshub.cc/HAA