RASMI… Datin Seri Zizie Izette yang juga isteri Ahli Parlimen Kinabatangan, Datuk Seri Bung Mokhtar Radin mengumumkan nama anak kembar mereka, Aadam Zac Izette dan Aaleph Zeke Izette.
Berita gembira tersebut diumumkan menerusi laman Instagram aktres tersebut. Menerusi entri di akaun sosial berkenaan, Zizie telah berkongsi buat pertama kali gambar anaknya yang kini berusia sebulan satu hari.
“Salam dan hello kepada semua. Inilah hero kami. Aadam Zac Izette (atas) dan adik lelakinya Aaleph Zeke Izette. Gambar ini dirakam ketika mereka baru berusia 20 hari.
“Alhamdullilah, hari ini mereka sudah berusia sebulan sehari. Terima kasih diucapkan atas kiriman doa-doa anda dalam komen sebelum ini. Semoga Allah merahmati anda semua,” tulisnya.
Bayi kembar itu dilahirkan pada 29 Disember lalu di Pusat Perubatan Prince Court, Kuala Lumpur. Zizie atau nama sebenarnya Zizie Izette Abdul Samad, 39, mendirikan rumah tangga dengan Bung Mokhtar pada 2009.
Pasangan itu sudah pun ada dua orang anak angkat iaitu Naila Nurjenna, 3, dan Aaric Zayn Izette, 7 bulan. Zizie merupakan anak kepada pelakon Khaty Fauziah dan bekas pegawai polis, Abdul Samad Jaaman.
Adik lelakinya iaitu Shaheizy Sam, 35, juga bergiat aktif dalam bidang lakonan serta telah pun berkahwin dengan juga seorang pelakon tempatan, Syatilla Melvin pada 2016 lalu.
Sebelum ini, Bung Mokhtar pernah berkata ingin menamakan nama Adam dan Alif untuk bayi kembar mereka, dan nyata, impian itu telah terlaksana. – Agensi/Mynewshub.cc/HAA