SEREMBAN – Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) terus dibelenggu kemelut apabila hari ini sekumpulan anggota parti itu mendakwa parti itu mengamalkan kronisme dan perebutan kuasa.
Bekas Timbalan Ketua Srikandinya Zaliha Mohamd Zakiria yang mengetuai kumpulan 20 orang itu berkata isu-isu yang membelenggu parti itu menyebabkan sesama ahli sukar untuk bekerjasama.
“Seperti isu kroni, orang lain buat kerja, orang lain yang mendapat nama dan langsung menyingkirkan ahli yang betul-betul buat kerja.
Pergolakan akar umbi tidak diendahkan bukan hanya sekarang, waima ia telah wujud seawal penubuhan dulu,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Zaliha berkata permasalahan dalaman srikandi juga sering dipandang sepi atau tidak pernah diambil peduli oleh pucuk pimpinan.
“Tiada sikap kebersamaan antara srikandi-srikandi bahagian dan ketua srikandi negeri yang dilantik oleh pucuk pimpinan dan ini juga terjadi di kebanyakan negeri.
“Sikap angkuh pucuk pimpinan srikandi juga tidak disenangi oleh akar umbi yang sentiasa inginkan pergolakan ini dapat diselesaikan secara kondusif dan juga konstruktif.
“Malangnya mereka (pucuk pimpinan) ini terlalu leka dengan jawatan yang ada dan ini boleh digambarkan bahawa mereka ini belum pun memegang tampuk kuasa tetapi telah menyerlahkan sikap sebenar mereka,” katanya.
Zaliha berkata isu ini pernah diusulkan kepada pucuk pimpinan untuk diambil tindakan, namun tidak mendapat sebarang maklum balas.
“Jika perkara ini masih berterusan, semua pihak berkecil hati dan tidak mustahil akan keluar parti.
Srikandi hanya gah dan ampuh pada namanya tetapi begitu rapuh pada dalaman dan pimpinannya,” katanya. – BERNAMA