Sunday, October 27, 2024

Creating liberating content

Presiden Perancis Arah Pertemuan...

PRESIDEN Perancis Emmanuel Macron mengarahkan Perdana Menteri Edouard Philippe bertemu ketua-ketua parti politik...

VIDEO: Lepas Awek Kelate...

SEDIH! Itulah yang boleh dikatakan terhadap kegilaan remaja sekarang mencarut menggunakan perkataan 'ale...

Tiada Kemudahan Internet Untuk...

SHAH ALAM - Jabatan Penjara menjelaskan tiada kemudahan internet diberikan kepada Ketua Pembangkang,...

Aduan Nadzrul Zarfan Dapat...

KUALA LUMPUR - Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr. Zulkifli Mohamad Al Bakri...

Aizat Amdan Pertaruhkan ‘Sampai Ke Hari Tua’

TIDAK boleh disangkal lagi, penyanyi dan penulis lagu, Aizat Amdan mempunyai aura tersendiri ketika menyampaikan lagunya di atas pentas.

Aizat merupakan antara bintang bakat besar dalam industri muzik negara ketika membuat kemunculannya beberapa tahun lalu.

Aizat sebelum ini dilihat memperlahankan karier muziknya dengan hanya mengeluarkan single Jangan Menangis ciptaannya bersama Faizal Tahir dan Mike Chan tahun lalu.

Kini, Aizat berkata dia mahu kembali aktif menyanyi tahun ini dan sudah pun melancarkan lagu beserta muzik video berjudul Sampai Ke Hari Tua.

Bercakap tentang lagu tersebut, Aizat menjelaskan bahawa dia mendapat ilham menggubah lagu tersebut berdasarkan pemerhatiannya dalam keluarga.

“Seperti tajuk itu, ia menceritakan kisah cinta antara pasangan yang tetap kuat sampai hari tua.

“Saya rasa semua orang yang sudah berkahwin atau sedang bercinta pastinya mahu sama-sama mengharungi cabaran dan kegembiraan sampai maut memisahkan.

“Ilham menghasilkan lagu ini adalah berdasarkan apa yang saya lihat dalam keluarga. Saya lihat ibu dan bapa saudara masih saling menyayangi walaupun sudah semakin berusia. Keadaan ini yang semua orang impikan,” katanya memetik portal Harian Metro.

Bagi mempromosikan lagu itu, Aizat akan bernaung di bawah sebuah syarikat rakaman bagi memudahkan perjalanan karier seninya.

Sepanjang kerjayanya sebagi penyanyi, Aizat tidak pernah bernaung di bawah mana-mana syarikat rakaman dan menguruskan perjalanan seninya sendiri.

Namun, Aizat menjelaskan keputusan untuk bernaung di bawah syarikat rakaman itu diambilnya oleh kerana kesihatan bapanya yang tidak begitu baik.

Kata Aizat, dia ingin meluangkan lebih banyak masa dengan bapanya, Datuk Amdan Mat Din yang mengalami serangan angin ahmar baru-baru ini.


“Dulu saya uruskan kerjaya sendiri, tetapi ada beberapa insiden yang buat saya tukar fikiran. Pertama, bekas pengurus saya mengalami masalah kesihatan. Kemudian, ayah saya pula diserang angin ahmar tahun lalu.

“Apabila ada syarikat pengurusan, Insya-Allah perjalanan seni saya lebih lancar. Oleh sebab Faizal Tahir juga selalu bekerjasama dengan syarikat itu, saya jadi lebih yakin untuk memilih mereka,” katanya.

Jelas Aizat, setakat ini dia berpuas hati dengan cara syarikat rakaman tersebut mengendalikan kerjaya seninya.

Syarikat berkenaan juga tidak menentukan hala tuju muzik yang dibawa Aizat serta menghormati apa sahaja pilihannya dalam berkarya.

Ketika ditanya mengenai kemunculan lambakan penyanyi baharu dalam industri seni suara negara, Aizat berharap orang ramai tidak terlalu awal mengecam dan menghakimi bakat mereka.

Penyanyi-penyanyi baharu yang sedang popular dalam arena muzik negara kini termasuklah Aiman Tino, Haqiem Rusli, Khai Bahar, Irfan Haris, Wany Hasrita dan lain-lain.

Malah, Aizat memuji lagu-lagu yang dikeluarkan penyanyi-penyanyi baharu ini memenuhi selera pendengar pada masa kini.

Tambah Aizat, penyanyi-penyanyi yang dikenali netizen dengan nama ‘Budak-Budak Baru Nak Up’ ini adalah pelapis yang akan terus menghidupkan dan memeriahkan industri muzik negara.

“Mereka masih muda. Masih ada banyak masa untuk menimba ilmu. Buat masa sekarang, jangan kita terlalu cepat mengkritik. Beri mereka masa dan ruang untuk memperbaiki mutu nyanyian.

“Mereka ada bakat, bukan hanya mempunyai vokal yang baik, tetapi juga boleh menulis lagu. Saya rasa mereka boleh pergi jauh dalam industri. Mari kita sama-sama memberikan sokongan,” katanya. – MYNEWSHUB.CC/EZ

Kategori