SELEPAS menghasilkan single bertajuk Abang Nak Tegur, kini usahawan, Datuk Seri Aliff Syukri tekad mencipta nama dalam bidang lakonan pula.
Bagaimanapun lakonan Aliff menerusi filem pertamanya, Badang dilihat menerima kritikan hebat daripada netizen dan rakan artis yang mana rata-rata beranggapan usahawan itu tidak berbakat.
Memetik laporan mStar Online, pelakon, Amyza Aznan telah menegur usahawan itu agar tidak menggunakan bidang seni sebagai platform untuk memperluaskan empayar perniagaannya.
Menurut Amyza, usahawan itu sama sekali tidak layak untuk bergelar pelakon mahupun penyanyi kerana Aliff langsung tidak mempunyai bakat dalam bidang berkenaan.
“Kau paksa orang untuk cakap kau bagus berlakon dan menyanyi, masalahnya bagus ke? Aku benci orang berduit kaya raya ni menggunakan platform seni untuk empayar bisnes dia orang.
“Ini tempat kami cari makan. Bisnes kami, dia tidak layak sebab tiada bakat langsung,” komen Amyza.
Amyza bertindak meninggalkan komen berkenaan pada ruangan komen di salah satu entri pengarah, Shahrulezad Mohameddin bagi mengulas mengenai tindakan Aliff yang ‘berang’ apabila lakonannya dikritik penonton.
Sementara itu Shahrulezad pula berkata, sebagai pelakon baru Aliff seharusnya menerima segala kritikan itu dengan hati terbuka kerana ia sememangnya menjadi lumrah dalam industri seni.
Ujarnya lagi, dia sendiri yang sudah melibatkan diri dalam industri sejak 20 tahun lalu pun masih lagi menerima pelbagai kritikan.
“Abang yang dua puluh tahun orang kutuk drama pun telan saja dengan kritikan itu sebab tahu dengan kritikan itulah kita akan belajar dan perbaiki,” ujar Shahrulezad.
Sebelum ini, Aliff meluahkan rasa kecewa dan terguris hati apabila lakonannya menerusi watak adiwira dalam filem Badang teruk dikritik penonton.
Aliff menerusi salah satu entri di laman sosial miliknya meminta agar netizen berhenti mengecam sebaliknya menghargai bakat dan penat lelah beliau menjayakan watak berkenaan. –Â MYNEWSHUB.CC/AM