AWAL tahun lalu, peminat Anuar Zain tentu pernah kecewa apabila penyanyi itu terpaksa batal konsert dijadualkan berlangsung di Panggung Anniversari, Taman Tasik di Perdana, Kuala Lumpur
Beliau dengan berat hati menjelaskan persembahan Yonder Music Live Series By The Lake – Anuar Zain & You itu dibatal setelah terpaksa akur dengan nasihat doktor yang menyarankan dirinya berehat demi menjaga peti suaranya.
Pernah dihantui pengalaman perit apabila kehilangan suara di atas pentas, Anuar menyatakan hasrat untuk beli insurans sekiranya beliau menghadapi masalah sama pada masa depan, menurut laporan portal berita tempatan.
Memandangkan polisi insurans seumpama itu memang langsung tiada ditawarkan di Malaysia, penyanyi kelahiran Melaka itu berkata beliau sanggup berusaha mendapatkan insurans berkenaan sekalipun perlu keluar negara.
“Insurans suara menjadi keutamaan saya. Malah saya sedang pertimbangkan untuk mengambil insurans seperti itu dari luar negara antaranya di Singapura atau Thailand, saya pernah cuba mendapatkannya di sini tetapi ia tiada.
“Saya mungkin bukan penyanyi terbaik tetapi ini adalah karier dan pekerjaan yang dilakukan seumur hidup, justeru harus bertanggungjawab kepada peminat,” katanya yang menggesa penyanyi lain turut ambil langkah berjaga-jaga.
Pemilik nama penuh Shahrul Anuar Zain yang bakal berusia 48 tahun pada 15 Februari depan itu ditemui pada sidang media Konsert Bunga Citra Lestari, Anuar Zain dan Yuka Kharisma Live In Concert di ibu kota kelmarin.
Menurut laporan media tempatan, tiga acara terpaksa dibatalkan sepanjang tahun lalu akibat masalah dihadapinya mengakibatkan beliau fokus kepada siri Anuar Zain Album Tour 2017 melibatkan sejumlah pasar raya Mydin.
Artis terkenal Hollywood, Mariah Carey antara penyanyi terkenal yang pernah membeli polisi insurans bagi peti suaranya untuk nilai AS$35 juta (RM136 juta) ketika sedang menjalani konsert jelajah dunia lebih dua tahun lalu.
Selain itu, Bruce Springsteen turut berbuat demikian dengan nilai polisi berjumlah AS$6 juta (RM23 juta). Namun, peminat Anuar pula sebenarnya tidak perlu khuatir dengan masalah dihadapi adik kepada penyanyi Ziana Zain itu.
Ini kerana beliau sudah mendapat kelulusan pakar untuk kembali beraksi sepenuhnya serta menyalurkan tenaganya sehabis baik buat konsert sulung tahun ini iaitu Bunga Citra Lestari, Anuar Zain dan Yuka Kharisma Live In Concert.
Ia diadakan di Dewan Plenari, Pusat Konvensyen Kuala Lumpur pada 24 April depan. Anuar juga berterima kasih kepada semua peminat yang memahami dan mendoakan kesihatannya selepas berita kehilangan suara itu tersebar.
“Akan ada acara lain disusuli selepas ini, insya Allah. Ini konsert pertama. Alhamdulillah dapat juga berkolaborasi dengan Bunga Citra Lestari dan Yuka Kharisma. Jarang saya berkongsi pentas dengan bakat hebat macam ini.
“Tawaran diterima kerana berharap dapat belajar perkara berbeza daripada biasa lakukan seperti teknik nyanyian dan cara berinteraksi untuk ‘beli’ jiwa peminat,” kata penyanyi bersuara emas itu. – Agensi/Mynewshub.cc/HAA