PELANTUN lagu Pencuri Hati, Ayda Jebat menggesa orang ramai terutamanya pengguna media sosial untuk bersama mendidik diri dengan hanya membaca portal berita yang sahih.
Hal ini sangat penting bagi menangani sekali gus membendung masalah penyebaran berita palsu daripada terus berleluasa.
Pemilik nama sebenar Nur Suhada Jebat itu berkata, perkara berkenaan perlu dipandang serius kerana pada masa kini, sosial media banyak dimanipulasi oleh pihak yang tidak bertanggungjawab.
Rata-rata antara mereka begitu gemar menyebarkan berita palsu yang bersifat kontroversi kerana beranggapan mudah untuk tular sedangkan hakikatnya ia adalah palsu dan akhirnya memperdayakan pembaca sendiri.
“Malangnya, mereka menjatuhkan hukum terhadap seseorang individu yang menjadi mangsa tanpa usul periksa,” katanya seperti dipetik sebuah portal online, hari ini.
Dalam pada itu Ayda berkata lagi, sekiranya tiada tindakan undang-undang diambil berhubung kesalahan itu, dikhuatiri hal berkenaan mampu menjadi ancaman baharu kepada masyarakat termasuk golongan artis sendiri.
Jelasnya, ketiadaan undang-undang yang berkaitan dengan perkara itu akan membuatkan golongan artis yang berpengaruh takut untuk berkongsi sesuatu melainkan kepada media yang berkredibiliti dan diiktiraf.
“Jika senario ini berterusan saya bimbang kadar jenayah siber akan terus meningkat dan seolah-olah memberi ancaman baharu kepada masyarakat.
“Bagi menyelesaikan masalah yang makin membimbangkan itu, kerajaan perlu cari mekanisme baharu bagi halang dan ambil tindakan terhadap mana-mana individu berkongsi berita palsu tanpa dikawal,” jelas Ayda.
Sehubungan itu, Ayda berharap orang ramai sedar dan menggunakan media sosial dengan penuh adab untuk ke jalan kebaikan yang mendatang lebih banyak manfaat. – MYNEWSHUB.CC/AM