NEW DELHI – Sekurang-kurangnya tujuh orang maut manakala 24 lagi cedera, sebahagian daripadanya kritikal, dalam nahas membabitkan sebuah bas yang membawa rombongan pengantin di negeri Bihar di timur India pada Selasa.
Nahas itu berlaku pada malam Isnin di Patna, ibu negeri Bihar, lapor agensi berita China Xinhua memetik kenyataan polis.
‘’Nahas jalan raya di Kampung Kandap meragut nyawa tujuh anggota sebuah majlis perkahwinan dan mencederakan 24 lagi selepas bas yang membawa mereka terbalik,” kata seorang pegawai kanan polis di Patna.
Polis percaya bas itu terbalik ke dalam sebuah longkang selepas pemandunya hilang kawalan.
Penduduk berhampiran dan polis mengejarkan mangsa yang cedera ke Hospital dan Kolej Perubatan Nalanda untuk rawatan.
Pemandu bas pula telah melarikan diri dari tempat kejadian.
Penduduk tempatan yang berang telah membakar bas itu.
Polis telah mengarahkan siasatan dijalankan bagi menentukan punca nahas itu.
Kemalangan maut di jalan raya adalah perkara biasa di India, yang sering disebabkan oleh terlebih muatan, keadaan jalan raya yang teruk serta pemanduan melulu.
Laporan rasmi yang dikeluarkan baru-baru ini menyatakan bahawa secara purata, India mencatat lebih 400 kematian akibat nahas jalan raya setiap hari pada 2016. – BERNAMA