SETIAP kali memulakan perjalanan jauh menaiki bas, kebanyakan penumpang pasti ingin menyediakan makanan bagi mengalas perut yang lapar.
Namun bagi personaliti media sosial, Faiz Dickie, makanan yang dibawanya ke dalam bas ekspres dinaikinya tidak dapat dijamah kerana dihalang oleh pemandu bas tersebut.
Menurut Faiz, atau nama sebenarnya Mohd. Nasrul Faiz Abu Azal, dia terpaksa menahan lapar sepanjang enam jam perjalanan dari Johor Bahru ke Kuala Lumpur disebabkan perkara itu.
Faiz, yang terkenal di media sosial dengan watak ‘Kak Leha Bunting’ berkata, dia tidak menyangka dan tidak tahu tentang larangan makan di dalam bas ekspres kerana tidak pernah dilarang berbuat demikian salama menaiki pengangkutan awam itu sebelum ini.
Jelasnya, kali terakhir dia menjamu selera adalah pada malam Sabtu dan ingin menjamu makanan ringan di dalam bas yang dinaiki pada jam 1.45 petang kerana tidak sempat bersarapan namun dihalang.
“Pemandu bas tak benarkan saya dan pembantu bawa masuk makanan. Sudahnya, saya simpan makanan di dalam beg yang kami letak di ruang penyimpanan barang di bahagian bawah bas.
“Perjalanan pula mengambil masa lebih lama kerana kesesakan lalu lintas di beberapa kawasan dan kami hanya berhenti sekejap untuk ke tandas di R&R (Rehat dan Rawat) Ayer Keroh. Tak boleh makan dalam bas, dah macam puasalah kalau dah niat sebab lama betul tak makan sejak malam sebelumnya,” katanya dipetik daripada mStar Online.
Akur dengan larangan tersebut, Faiz mengambil inisiatif untuk mendapatkan penjelasan melalui e-mel daripada syarikat bas tersebut dan menerima maklum balas, seperti yang dikongsi di laman sosial Instagramnya semalam.
Maklum balas daripada syarikat bas tersebut menjelaskan bahawa selagi tidak mengganggu ketenteraman penumpang lain, adalah dibenarkan untuk makan di dalam bas. Namun, sebarang makanan berbau tidak dibenarkan kerana boleh mengganggu penumpang lain.
“Ramai penumpang selepas makan, sampahnya akan ditinggalkan begitu saja. Pemandu bas bukan malas untuk membersihkannya tetapi mereka perlu mengejar masa untuk mengambil penumpang yang seterusnya.
“Bagi minuman pula perlulah membawa minuman yang tertutup, bukan yang mudah tumpah seperti di dalam cawan. Bila minuman tumpah dan lantai melekit, ia akan mendatangkan ketidakselesaan kepada penumpang lain,” jelas e-mel daripada syarikat bas tersebut.
Dalam perkongsian laman sosialnya itu, Faiz berkata, penjelasan yang diberikan berkenaan garis panduan tersebut masih samar oleh kerana makanan yang berbau adalah subjektif.
“Tapi pengajarannya adalah sebagai penumpang, kita perlu tahu apa yang boleh dan tidak boleh dilakukan apabila menaiki bas.
“Pihak syarikat bas pula perlu ada budi bicara terhadap penumpang terutama dalam mereka yang tidak sihat atau mengalami masalah gastrik,” ujar Faiz lagi.
Dalam pada itu, Timbalan Presiden Pengusaha Bas Ekpres Melayu Semenanjung Malaysia (Pembawa), Tajudin Mohd Yunus memberi cadangan supaya membenarkan penumpang membawa makanan ringan untuk dimakan di dalam bas.
“Kita faham keadaan tertentu yang dialami penumpang seperti lapar dan tempoh perjalanan yang lama, tapi janganlah bawa makanan berat, berkuah atau berbau yang boleh mengganggu ketenteraman penumpang lain.
“Saya nasihatkan bawa masuk makanan ringan seperti roti dan air kotak. Apa yang paling penting penumpang perlu menjaga kebersihan semasa di dalam bas, jangan buang sampah merata-rata,” jelasnya memetik portal mStar Online. – MYNEWSHUB.CC/EZ