PETALING JAYA – Seorang bekas Ketua Pegawai Operasi(CEO) sebuah syarikat pembekal kosmetik mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas 27 pertuduhan pecah amanah berjumlah RM103,000, dua tahun lalu.
Amandip Singh Bachittar Singh, 34, didakwa sebagai CEO Ortus Expert White Sdn Bhd yang diamanahkan dengan produk kecantikan yang diletakkan di dalam stor, telah melakukan pecah amanah ke atas beberapa produk kecantikan milik syarikat itu termasuk Royale Expert Whitening Cream dan Royal Expert Whitening Face Cleanser yang kesemuanya bernilai RM103,000.
Lelaki itu dituduh melakukan semua kesalahan itu di premis syarikat di Jalan Nilam 2, Taman Perindustrian Subang Jaya di sini antara Februari dan November 2016 mengikut Seksyen 408 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 14 tahun dan sebat serta denda, jika sabit kesalahan.
Timbalan Pendakwa Raya Shafiq Hasim tidak menawarkan sebarang jaminan namun, jika mahkamah membenarkan, beliau mencadangkan sejumlah RM27,000 bagi kesemua 27 pertuduhan.
Bagaimanapun, tertuduh yang diwakili peguam V. Varunnath, memohon jaminan rendah kerana dia kini bekerja sebagai pegawai khidmat pelanggan di sebuah syarikat swasta dan tidak mampu membayar jaminan tinggi.
“Anak guam saya merupakan penanggung utama keluarga serta menanggung ibu bapa yang sudah tua dan sedang sakit,” katanya.
Hakim Hilmiah Yusof membenarkan tertuduh diikat jamin RM15,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 27 Mac untuk sebutan semula kes. – BERNAMA