TATAU – Lebih seminggu lalu guru wanita ini terpaksa berdepan dengan situasi banjir paling buruk dihadapinya sejak bertugas di Sekolah Kebangsaan (SK) Kuala Muput yang berada di tebing Sungai Anap dalam Daerah Tatau.
Ina Rosyaida Yahya, 27, bersama warga sekolah yang lain terpaksa menyelamatkan diri mereka apabila paras air Sungai Anap naik mendadak sehingga menenggelamkan sekolah tersebut, iaitu peristiwa terburuk dalam sejarah sekolah yang dibina sejak 1963 itu.
Bercakap kepada Bernama, Cikgu Ina Rosyaida berkata SK Kuala Muput memang kerap banjir tetapi sebelum ini sesi persekolahan masih boleh diteruskan, murid masih boleh ke sekolah malahan guru pun boleh teruskan sesi pengajaran dan pembelajaran menggunakan pengangkutan perahu.
āNamun apa yang berlaku kali ini benar-benar melumpuhkan operasi sekolah sepenuhnya, saya sendiri mengalami kerugian apbila hampir 95 peratus barangan dan perabot dalam rumah rosak dan terpaksa dibuang. Hampir empat tahun berkhidmat ini adalah banjir terburuk pernah saya alami,ā katanya.
Beliau berkata ketika awal kejadian, paras air Sungai Anap yang naik mendadak menyebabkan warga sekolah mula dipindahkan dari kuarters kakitangan ke bangunan paling tinggi di sekolah, namun apabila keadaan semakin buruk hingga sekolah tenggelam sepenuhnya mereka terpaksa bergegas menyelamatkan diri ke dua rumah panjang berdekatan.
Cikgu Ina Rosyaida berkata biarpun berdepan dengan situasi paling mencemaskan sejak bertugas pada 2015, beliau tetap kuat untuk terus berkhidmat di sekolah dalam kategori pedalaman 3 yang mempunyai 112 murid, 16 guru serta lapan kakitangan itu.
Selepas lebih seminggu kejadian, Ina Rosyaida guru Bahasa Inggeris dan Matematik yang kembali semula ke sekolah tersebut selepas pulang ke kampung halaman di Umbai, Melaka untuk menenangkan fikiran, sebak melihat keadaan sekolah musnah 100 peratus merangkumi bangunan sekolah, asrama serta kuarters guru dan prasarana lain.
“Perasaan sedih, sebak tidak dapat digambarkan bila saya tengok keadaan sekolah ketika ini. Inilah tempat kami mendidik murid daripada 23 rumah panjang masyarakat Iban berhampiran.
“Saya tetap ‘kuat’ untuk mengajar di SK Kuala Muput, inilah tempat pertama saya ditempatkan serta bina kerjaya selepas menamatkan pengajian di Institut Perguruan Perempuan Melayu Melaka. Sekolah ini perlu segera āpulihā agar murid dapat kembali bersekolah, tambahan pula ramai murid Tahun Enam yang akan menghadapi UPSR sudah banyak ketinggalan,” katanya sambil menahan tangis.
Untuk ke sekolah ini, seseorang perlu mengharungi perjalanan darat selama sejam atau kira-kira 60 kilometer dari Bandar Bintulu sebelum sampai ke bandar kecil Tatau dan satu jam lagi menaiki bot laju.
Cikgu Ina nyata mendapat tempat istimewa dalam kalangan murid-muridnya, dia dibantu dua murid SK Kuala Muput serta empat bekas pelajar sekolah itu yang hadir untuk sama-sama membersihkan kediamannya di kuarters guru yang rosak 100 peratus itu.
“Ini antara faktor buat saya sayangkan sekolah ini, masyarakat di sini sangat baik, mereka juga rapat serta menghargai guru di sini. Seselia Linjan Giman, 12, dan Beckham Bugoy Abum, 10 murid SK Kuala Muput, empat lagi iaitu Christellia Wales Richard, 13, Tuah Ganak, 15, Ngali Wilson Sugi, 13 dan Sonita Chau, 13, bekas pelajar saya tetap datang untuk sama-sama membantu.
“Saya sayangkan sekolah ini, walaupun ramai yang tanya kenapa saya tak minta pindah? Kenapa nak duduk bersusah payah tetapi itulah kalau dah sayang, apa orang kata kita akan terima juga biarpun terpaksa bersusah payah. Buat masa ini di sinilah tempat saya menabur bakti,” kata anak kepada pasangan pesara guru Yahya Hashim dan Norhayati Sulaiman ini. – BERNAMA